Tuesday, October 18, 2011

Negeri Dibawah Bayu : Kisah kejayaan peneroka Umas



DENGAN memakai but berwarna hitam, jaket kulit berwarna coklat dan berseluar jean, Amarullah Sudin, 53, melangkah keluar dari rumah agamnya di Felda Gugusan Umas, Tawau, Sabah.

“Mari kita ke ladang kelapa sawit, di situ juga lebih 200 ekor lembu saya ditempatkan, ia ambil masa lebih kurang sejam ke sana dari sini,” katanya bersahaja kepada penulis dan jurufoto, Noradzrene Mohd. Noor sambil membuka pintu pacuan empat rodanya.

Setibanya di ladang berkenaan, Amarullah turun dan terus memanggil ternakannya dengan nada yang agak aneh. Tanpa semena-mena, sekumpulan lembu berlari menghampirinya dan bergesel dengannya.
“Lihat, lembu-lembu itu semua sudah kenal Haji (nama timangan Amarullah), tuan punya lembu-lembu ini. Dia selalu memantau dan ambil berat ternakannya di sini,” kata pemandu pacuan empat roda kami yang dikenali sebagai Pian.

Amarullah yang berasal dari suku Bugis Sabah sebenarnya bukan sebarangan individu. Lelaki ini dilabelkan antara peneroka Felda yang paling berjaya di Negeri di Bawah Bayu.

Membuktikan kenyataan, Amarullah baru-baru ini telah merangkul dua kejayaan dalam Anugerah Usahawan Tawau Felda 2010 yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan.

Sambil bersiar-siar di ladang kelapa sawit, lelaki penuh karisma itu bercerita tentang misi dan visinya. Kata Amarullah, kejayaannya yang dikecapinya tidak datang bergolek.

Lantas, penulis menyogoknya tentang jolokan umum tentang dirinya digelar jutawan Felda.

“Awak kata saya jutawan? Oh, itu belum lagi, kita masih bekerja keras dan sebolehnya kita mahu kekal dengan sikap sederhana,” katanya yang menepis persepsi mengenai konsepsi kejayaan dan kemewahannya.

Menyorot historiografi Amarullah pada masa lampau, intonasinya begitu melankolik.

Liku hidup

Kisah Amarullah di Felda Gugusan Umas bermula pada tahun 1990 dan dia bergelar sebagai peneroka kelapa sawit ketika itu. Namun, pada masa yang sama, minatnya untuk menternak haiwan ternakan telah mendorongnya membeli lima ekor lembu sebagai percubaan untuk berniaga secara kecil-kecilan.

Keseriusan wawancara kami tidak semena-mena bertukar menjadi gamat dengan hilai tawa tatkala lelaki Bugis itu membongkar kisah kehilangan lembunya.

“Lima ekor lembu saya hilang dan takut isteri saya bising, saya beli lembu baharu,” katanya yang mendedahkan rahsia yang terpendam sejak sekian lama di hadapan isteri, Murniati Aisnawir, 45, dan anak keduanya, Mohd. Iswan, 24.

Momen itu sebenarnya merupakan titik peralihan kepada kehidupannya. Sambil memandang tepat ke arah isteri yang bersama-sama berkorban masa dan tenaga, Amarullah mengakui perniagaan yang direntas penuh berliku.
PASANGAN suami isteri, Amarullah dan Murniati menaruh harapan agar zuriat mereka dapat menyambung legasi perniagaan yang dibina sejak bertahun-tahun lamanya.

“Pernah berlaku, 25 ekor lembu saya mati dan kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000 dan pernah juga 30 ekor lembu saya dicuri orang dan saya rugi RM60,000,” beritahunya.

Pada satu peringkat, kata lelaki itu, kurniaan Allah kepadanya tidak berbelah bahagi. Dia berlapang dada apabila sudah mempunyai kira-kira 500 ekor lembu. Dia juga memiliki ladang kelapa sawit seluas 2,000 hektar.

Tidak bergantung kepada dua cabang perniagaan sahaja, selain menumpukan perhatian kepada ternakan dan kelapa sawit, Amarullah turut mengendalikan bisnes pembinaan. Skala para pekerjanya bertambah kepada 50 orang.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya Amarullah berterus-terang bahawa hasil pendapatan bulanannya mencecah RM50,000.

Dahulu gajinya semasa awal-awal menjadi peneroka cuma sekitar RM200 sahaja.

Hasil ternakannya pernah menjengah bukan sahaja pasaran Sabah malah menerima tempahan dari Sarawak dan Indonesia.

Namun, tegas bapa kepada sembilan anak itu, tiada istilah berpeluk tubuh dan ‘memerintah’ para pekerjanya bukan prinsipnya.

“Saya masih bekerja tak kira masa. Pagi-pagi dah bangun. Alhamdullillah hasil titik peluh saya kini diwarisi oleh Mohd. Iswan,” katanya yang sangat berterima kasih dengan keprihatinan Felda terhadap para peneroka di negeri Sabah.

Apabila topik perbualan beralih kepada kediamannya ibarat sebuah istana, Amarullah tersenyum simpul.

“Ya, kos rumah yang mempunyai tujuh bilik ini mencecah hampir RM2 juta dan sebenarnya ia masih dalam pembinaan.

“Rekaan rumah ini adalah sentuhan anak sulung saya, Abdul Ghafur yang merupakan seorang jurutera. Kami sama-sama mencatur idea mengatur konsep hiasan dalaman termasuk susunan perabot,” ujarnya yang masih menggantung gambar keluarga di rumah papan yang pernah didudukinya dulu di ruang tetamu.

No comments:

Post a Comment