Foto Allahyarham bapa penulis pada 11/09/2010 |
Kali terakhir penulis berjumpa dengannya ialah pada Ahad 27 Syawal 1432H (25hb September 2011) sebelum penulis bergerak ke Pulau Pangkor untuk menjalankan kursus TOB sebagai salah seorang fasilitator.
Allahyarham telah didiagnos mengidap kanser paru-paru tahap 4 pada Mei tahun ini, dan kanser tersebut telah merebak ke otak, yang mana doktor menjangkakan hayat beliau antara 2-3 bulan sahaja. (Sebelum itu doktor di Hospital Melaka menjangkakan sehingga 6 bulan tetapi doktor pakar di Institut Perubatan Respiratori (IPR) di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, yang mendapati kanser telah merebak ke otak menjangkakan lebih awal lagi pada 3 Syawal 1432H).
Doktor pakar telah berbincang dengan penulis pada 5 Syawal 1432H, yang menyatakan proses radioterapi dan kemoterapi tidak boleh dijalankan kepada belaiu memandangkan keadaan beliau yang amat lemah dan sudah tentu tidak mampu menahan kekuatan radioterapi dan kemoterapi.
Tetapi manusia hanya boleh menjangka dan merancang tetapi Allah yang maha mengetahui. Walaupun kami sekeluarga telah bersedia untuk menerima suratan takdir tersebut, cuma ianya datang lebih awal lagi.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bachang pada jam 2:30 petang.
Allahyarham bersama cucu bongsunya iaitu anak penulis, Nurun-'Ain Sofiah pada 30/07/11 |
Sebelum itu penulis telah menghubungi keluarga di Melaka terutamanya jiran dan saudara, supaya meneruskan sahaja proses pengkebumian dengan segera dan jangan menunggu penulis yang memang menjangka akan tiba lewat.
Kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pehak yang membantu kami sekeluarga terutama penduduk kariah Kg pasir Putih, Bachang, jiran-jiran dan ahli keluarga yang lain yang turut sama membantu.
Tidak lupa juga, kami ucapkan ribuan terima kasih kepada kakitangan Hospital Melaka dan Institut Perubatan Respiratori (IPR) yang telah cuba membantu sedaya upaya.
----------------------
Datuk sebelah ayah penulis iaitu Kadir bin Ibrahim berasal dari Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan. Sementara nenek pula iaitu Patimah atau Yah berasal dari Patani, Selatan Thailand.
Mereka kemudiannya berhijrah ke Melaka pada awal kurun ke 20, sekitar tahun 1905-1915. Allahyarham ayah penulis (penulis panggil 'abah') dilahirkan pada tahun 1923 (mengikut cerita mulut ke mulut saudara mara), tetapi semasa pendaftaran membuat kad pengenalan yang diperkenalkan oleh British pada tahun 1946, bapa penulis dicatatkan sebagai lair pada tahun 1935, lewat 13 tahun. Tetapi ia perkara biasa berlaku pada masa tersebut, janji ada catatan tahun lahir untuk pendaftaran tersebut.
Tidak banyak diketahui tentang saudara-mara sebelah ayah penulis, kerana penulis sendiri hanya dapat berjumpa dengan datuk penulis dua kali sahaja iaitu semasa berumur 10 tahun dan 11 tahun di Kampung Ayer Tawar, Sebatu, Melaka.
Datuk penulis meninggal semasa penulis berumur 12 tahun (1977). Penulis tidak pernah berjumpa dengan nenek kandung penulis (meninggal semasa penulis berumur 3 tahun (1968) di Patani dan disemadikan di sana.
Cuma, yang penulis tahu, satu-satunya datuk saudara yang penulis ada ialah Ibrahim Tukang Karut (Allahyarham) (sepupu pada datuk penulis) yang menetap di Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan. Setakat ini, tiada usaha dibuat untuk bertemu dengan saudara-mara (jika ada) di Gelang Mas.
No comments:
Post a Comment