Monday, August 8, 2011

Ramadhan : Rahmat untuk 10 keluarga

BENTONG: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 10 keluarga miskin yang menerima bantuan daripada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Azman Ismail yang hadir bersama warga kerja Harian Metro ke rumah mereka dalam program Titipan Kasih di Kampung Simpang Pelangai, di sini, kelmarin.

Ternyata, kunjungan rombongan berkenaan meringankan beban ditanggung keluarga terbabit apatah lagi dalam bulan mulia membolehkan mereka menjalani ibadat puasa seperti insan lain yang lebih bernasib baik.

Dali Ariffin, 40, berkata, keluarganya tidak menyangka menerima rombongan daripada akhbar nombor satu negara dan bantuan diberikan meringankan beban perbelanjaan sepanjang Ramadan seterusnya Aidilfitri nanti.

“Ia meringankan beban keluarga yang hanya bergantung hidup hasil pekerjaan saya yang bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa,” kata bapa dua anak itu.

Asnah Ahmad, 61, berkata, bantuan diberikan rezeki daripada Allah kepada keluarganya pada Ramadan ini.

Katanya, rombongan berkenaan bukan hanya dapat memberi bantuan berupa barangan dapur atau wang, malah menceriakan keluarganya.

“Ramadan kali ini memberi erti amat besar kepada saya sekeluarga kerana masih ada yang prihatin dan mengambil berat nasib kami.

“Saya bersyukur kepada Allah dengan nikmat diberikan dan terima kasih kepada Harian Metro yang sudi menjenguk kami,” katanya.

Program Titipan Kasih Harian Metro diadakan seawal jam 7 pagi di Masjid Sultan Ahmad Shah, Kampung Simpang Pelangai dengan kakitangan Harian Metro bergotong-royong bersama penduduk kampung menyembelih serta melapah kerbau seterusnya memasak juadah berbuka puasa untuk 800 orang.

No comments:

Post a Comment