Wednesday, March 2, 2011

New Zealand Quake : Kelab Putera 1Malaysia Bantu pelajar Malaysia di New Zealand

KUALA LUMPUR: Sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia yang berlepas ke Christchurch, New Zealand, malam tadi akan memberi tumpuan khusus terhadap usaha memulihkan keadaan psikologi terutama mental dan emosi rakyat Malaysia yang terjejas teruk dalam kejadian gempa yang melanda negara itu, baru-baru ini.

Sehubungan itu, delegasi terbabit membawa bersama 20 paramedik termasuk enam pakar perubatan tempatan untuk mengendalikan sesi itu yang menjadi antara sasaran utama misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Christchurch.

Ketua pasukan perubatan kelab itu, Datuk Dr Alwi Abdul Rahman, berkata setiap anggota sukarelawan yang dibawa mempunyai pengalaman tersendiri dalam bidang kepakaran masing-masing, termasuk pernah melalui sendiri situasi bencana melalui beberapa misi terdahulu yang disertai.

Antaranya, katanya, termasuk Pakar Kecemasan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Dr Sabariah Faizah Jamaluddin; Dr Md Saed Man (Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru) dan Dr Tan Wei Ming (Hospital Kuala Lumpur).


Dr Alwi yang juga Ketua Bahagian Kecemasan Hospital Selayang, berkata tumpuan utama misi adalah untuk menangani isu mental dan emosi rakyat Malaysia yang dilihat jauh lebih parah dan teruk terjejas, berbanding kecederaan fizikal yang dialami.

Berdasarkan laporan risiko analisis yang diterima dari Christchurch, katanya, masih banyak gempa susulan dilapor berlaku dan ini secara tidak langsung menyebabkan keadaan trauma di kalangan mangsa semakin bertambah.

“Justeru, misi utama delegasi adalah untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat Malaysia di sana dari segi emosi dan mental, untuk membolehkan mereka kembali meneruskan hidup seperti sedia kala.

“Kita akan cuba tangani seberapa banyak kes membabitkan rakyat Malaysia di sana dalam tempoh misi singkat. Apa pun, kami bersedia jika khidmat kami turut diperlukan untuk menangani masalah membabitkan warga tempatan di sana,” katanya.

Terdahulu, beliau menyertai sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia diketuai Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

No comments:

Post a Comment