Wednesday, March 2, 2011

Bila Sultan Bertitah : UNISEL dilarang terbabit politik

Unisel
SHAH ALAM: Sultan Selangor bertitah, baginda tidak mahu Universiti Selangor (UNISEL) terbabit dengan politik kepartian sama ada secara langsung atau tidak langsung kerana ia akan menghilangkan kepercayaan pihak tertentu selain menimbulkan banyak masalah dan merugikan universiti berkenaan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, perkara itu tidak berlaku terhadap UNISEL kerana ia akan turut menyebabkan ibu bapa ragu-ragu untuk membenarkan anak mereka melanjutkan pelajaran di universiti terbabit.

“Aset utama kepada universiti ialah pelajarnya. Pentadbiran dan strategi yang baik boleh menghasilkan pelajar yang bukan saja cemerlang dari segi akademik bahkan cemerlang dari segi sahsiah diri dan budi pekerti.


“Kecemerlangan yang dicapai sesebuah universiti diukur dengan pencapaian graduannya dan sumbangannya kepada masyarakat serta kawasan di sekitarnya,” titah baginda selepas menyampaikan watikah pelantikan Canselor UNISEL kepada Tan Sri Raja Arshad Tun Uda di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.

Sultan Selangor turut memberi penghargaan kepada bekas Canselor UNISEL, Datin Seri Rosmah Mansor kerana berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik sebelum ini.

Selain itu, baginda berharap kepemimpinan tertinggi UNISEL termasuk canselor, pro canselor, ahli lembaga pengarah serta naib canselor dapat menjalankan fungsi mereka dengan sempurna demi kemajuan pendidikan dan pelajaran anak bangsa.

“Patuhilah segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan pihak berwajib terutama Kementerian Pengajian Tinggi selain jangan hanya mementingkan keuntungan semata-mata kerana pembelajaran yang sempurna tidak ternilai harganya,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, mengikut perlembagaan UNISEL, Canselornya adalah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atau wakil yang dilantik oleh baginda.

“Menjadi tanggungjawab Beta untuk menggunakan segala kebijaksanaan memilih mereka yang Beta percayai sesuai dan berpotensi untuk mewakili Beta. Oleh itu, Beta berkenan menitahkan kepada seluruh rakyat Selangor supaya perkara ini tidak disalah erti dan dipolitikkan,” titah baginda.

Titah baginda, UNISEL yang ditubuhkan sejak 1999 adalah sebuah institusi pengajian tinggi swasta terkenal di Selangor dan menempatkan 12,000 pelajar dari dalam dan luar negara.

read more @ berita harian:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UNISELdilarangterbabitpolitik/Article

No comments:

Post a Comment