Wednesday, March 2, 2011

Hanya 9.7 peratus penumpang belakang pakai tali keledar

KUALA LUMPUR: Hanya 9.7 peratus penumpang tempat duduk belakang kereta memakai tali pinggang keledar sejak peraturan itu diperkenalkan pada 2009, demikian menurut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Ketua Pengarah MIROS, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, (kanan) berkata peratusan berkenan berdasarkan kajian terakhir institut itu pada akhir 2009 dan ia menurun berbanding 13.9 peratus pada Oktober 2009, Jun (28.2 peratus), Februari (47 peratus) dan Januari (38.9 peratus) apabila peraturan itu mula diperkenalkan.

Katanya, pelbagai masalah dikenal pasti sebagai punca penggunaan tali pinggang keledar belakang kereta yang rendah, termasuk peraturan undang-undang baru memerlukan kesesuaian di kalangan pengguna.

“Ia perlu didahului dengan galakan, peringatan dan penerangan.


“Bagaimanapun, tanpa aktiviti penguatkuasaan yang mencukupi, perubahan tabiat pengguna sukar untuk dicapai.

“Pada mulanya, rakyat peka terhadap galakan yang diberi tetapi aktiviti penguatkuasaan yang tidak berkesan dan mencukupi, menyebabkan mereka tidak mengendahkan serta ada yang sering terlupa memakainya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Ditanya langkah yang perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran pengguna, Dr Ahmad Farhan, berkata semua pihak termasuk media, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta boleh membantu menjayakan program galakan, walaupun Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sudah menjalankan program secara berkala.

“Bagaimanapun, aspek penguatkuasaan paling penting membabitkan penguatkuasaan diri sendiri oleh ahli keluarga dan rakan, selain pihak berkuasa,” katanya

1 comment:

  1. Untuk orang dewasa elok disaman kerana tidak memakai tali pinggang. Cuma untuk kanak tali pinggang sedia ada tidak sesuai dan direka untuk orang dewasa bukan kanak-kanak.

    Kerusi keselamatan diperlukan untuk kanak-kanak. Ia dijual mengikut saiz dan berat badan. Cuma satu ujian kepada ibu-bapa untuk mengalakkan dengan melatih memakai tali pinggang

    ReplyDelete