Tuesday, September 14, 2010

Cacat Anggota Bukan Halangan Cari Rezeki.

Utara: Cacat anggota bukan halangan cari rezeki -2010/09/14

JAMALUDIN membaiki TV di Kampung
Sungai Udang.YAN: Kecacatan anggota
 bukan penghalang untuk pasangan suami isteri
orang kurang upaya (OKU) dari Kampung
Sungai Udang di sini, untuk berusaha
mencari rezeki.

===========================

JAMALUDIN membaiki TV di Kampung Sungai Udang.YAN: Kecacatan anggota bukan penghalang untuk pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Sungai Udang di sini, untuk berusaha mencari rezeki.

Jamaludin Chin, 51, yang kudung kaki kiri, manakala isterinya, Faridah Abu Bakar, 49, kudung kedua-dua belah tangan sejak lahir yang bertemu jodoh ketika sama-sama menuntut di Pusat Latihan OKU di Cheras 22 tahun lalu, juga tidak menyalahkan takdir, sebaliknya terus tabah menjalani kehidupan.

Walaupun dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan, pasangan suami isteri ini boleh berbangga kerana mampu menikmati hidup serta membesarkan tiga anak perempuan berusia antara tiga dan 23 tahun dengan keringat dan kemahiran dimiliki. Jamaludin berkata, keputusan untuk mengikuti kursus kemahiran di Pusat Latihan OKU di Cheras disifatkan satu keputusan bijak kerana memperoleh manfaat daripada ilmu yang dipelajari dan dijadikan sebagai sumber pendapatan.

Katanya, dia mula membaiki peralatan elektrik terutama televisyen sejak 20 tahun lalu dan ketika itu rezekinya agak murah kerana dengan upah yang diterima dapat membesarkan anak dan membeli peralatan rumah.

"Selain itu, saya dengan sukarela ketika itu meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghentikan pemberian elaun pekerja cacat (EPC) yang diberi kepada saya kerana merasakan adalah wajar wang berkenaan diberi kepada OKU lain.

"Namun, sejak televisyen dari China masuk ke pasaran tempatan awal 2000, saya akui sedikit sebanyak menggugat sumber pendapatan yang saya peroleh,” katanya.

Jika dulu, saya pernah menerima 60 televisyen untuk dibaiki, namun sekarang ini tiga sebulan pun agak sukar," katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Jamaludin berkata, berikutan itu dia memohon kembali EPC sebanyak RM300 sebulan daripada JKM untuk menampung keperluan hidup.

"Bagi saya tiada alasan untuk OKU khususnya bagi mereka yang masih mampu bergerak dan sihat untuk berusaha mencari pendapatan sendiri tanpa mengharapkan simpati dan ihsan orang lain.

"Memang diakui, golongan OKU sukar menembusi pasaran kerja tetapi dengan adanya institusi kemahiran yang diwujudkan kerajaan untuk OKU, peluang ini harus direbut mereka kerana dengan kemahiran yang ada ia membuka ruang untuk kita menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan," katanya.

Jamaludin yang juga anak kedua daripada lapan beradik turut aktif dalam bidang sukan dan pernah mewakili negara dalam temasya sukan Paralimpik bagi acara lontar lembing serta lempar cakera sejak 2001.

"Saya tidak pernah merasakan kekurangan ini membataskan saya menceburi bidang yang saya minati cuma pendekatannya mungkin sedikit berbeza. Malah, walaupun saya dan isteri OKU, kami sentiasa mendapat sokongan daripada anak-anak," katanya menjelaskan ketiga-tiga anaknya dilahirkan normal.

Ini merupakan contoh di kalangan OKU yang hendak berusaha!

SYABBAS!! Jamaludin.

No comments:

Post a Comment