Tuesday, September 14, 2010

10 kali permohonan untuk mendapatkan rumah PPRT ditolak.

Timur: 10 kali permohonan ditolak-Oleh Mohd Rafi Mamat bhnews@bharian.com.my -2010/09/14


ABDUL GHAFAR (kanan) pernah memohon bantuan
 Projek Perumahan Rakyat Termiskin namun masih tidak berjaya.
Abdul Ghafar kesal gagal dapat rumah PPRT tanpa sebarang alasan

KUANTAN: "Sudah 10 kali saya membuat permohonan untuk mendapatkan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun sehingga kini impian itu masih tidak menjadi kenyataan.

"Saya tidak pasti apa punca yang menyebabkan saya masih terus gagal mendapat bantuan berkenaan, selain hidup dalam kemiskinan saya juga seorang insan cacat," keluh Abdul Ghafar Ahmad, 42 yang kini tinggal di Kampung Bukit Kuing Satu, dekat sini. Beliau berkata, ketua kampung sudah beberapa kali datang melihat keadaan rumahnya bagi menyokong permohonan rumah PPRT, namun sehingga kini tiada sebarang khabar berita diterima.

Katanya, rumah pusaka tempat dia berteduh bersama adiknya, Hamidah Ahmad, 31 seorang ibu tunggal serta empat anaknya kini bila-bila masa saja untuk rebah menyembah bumi.

Ghafar yang cacat pada kaki dan tangan kiri sejak lahir berkata, dia tidak pasti kenapa permohonannya untuk mendapatkan bantuan rumah di atas tanah miliknya tidak berjaya, sedangkan ramai penduduk miskin di kampungnya mudah menerima kemudahan berkenaan.

"Dengan hanya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan RM250 bayaran pihak yang memajak kebun getah pusaka, tidak mungkin saya mampu mendirikan rumah yang lebih selesa.

"Dengan pendapatan yang tidak seberapa itu saya turut terpaksa menyara adik dan empat anak saudara, walaupun mereka menerima bantuan JKM dan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu (Maip) namun masih tidak mencukupi," katanya.

Ghafar berkata, setiap kali hujan mereka sekeluarga akan berkumpul di satu sudut rumah untuk berteduh kerana sebahagian atap bocor selain kayu yang reput, turut menyulit mereka apabila bilik mandi dan tandas juga hampir runtuh.

"Saya merayu pihak berwajib datanglah melihat sendiri keadaan rumah saya yang hampir menyembah bumi ini.

"Saya tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak, tetapi sekadar menagih bantuan disediakan kerajaan kepada golongan miskin seperti kami.

"Keadaan rumah yang semakin uzur ini menyebabkan kami sekeluarga tidak dapat merasai kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri sejak lebih 10 tahun lalu," katanya yang tidak mampu bekerja kerana uzur.

Bagi Hamidah, rumah satu bilik tempat mereka sekeluarga berteduh kini semakin tidak selamat terutama apabila bahagian dapur yang hampir runtuh selain lantai ruang tamu yang sudah reput dimamah usia.

"Selepas bercerai dengan suami tahun lalu, saya bergantung sepenuhnya kepada abang bagi menyara saya dan anak-anak. Walaupun saya mendapat bantuan daripada JKM dan Maip, namun masih tidak mencukupi.

"Kami sekeluarga pernah tidak makan apabila kehabisan duit untuk membeli makanan,” katanya yang mempunyai empat anak berumur antara 10 bulan hingga 11 tahun.

No comments:

Post a Comment