Tuesday, September 14, 2010

Sakit Jantung: Tempoh Pengambilan Aspirin

SOALAN

BIASANYA pesakit jantung diberi ubat aspirin untuk mencairkan darah. Adakah mereka perlu memberitahu doktor atau menghentikan pengambilan ubat ini jika mahu menjalani rawatan, contohnya mencabut gigi? Adakah pengambilan aspirin ini untuk sepanjang hayat atau boleh dihentikan atas nasihat doktor?

JAWAPAN

Aspirin adalah ubat yang wujud lebih seabad lamanya. Malah, aspirin yang bahan kimianya berasal daripada pohon willow digunakan sejak zaman ahli tabib Yunani, Hippocrates dan masyarakat Cina berkurun lalu, di mana daun dan kulit kayu dari pohon ini diambil untuk menghilangkan rasa sakit.

Walaupun penggunaan aspirin berkurangan pada pertengahan abad lalu selepas penemuan paracetamol pada 1956, populariti aspirin kembali semula sejak 1980-an apabila aspirin digunakan secara meluas untuk mengubati penyakit jantung koronari.

Serangan jantung atau infarksi miokardium berlaku apabila gumpalan darah terjadi di dalam pembuluh darah koronari secara tiba-tiba, menyebabkan pengaliran darah terhenti. Ini mengakibatkan kerosakan teruk pada otot jantung yang ketandusan darah.

Dalam proses awal pembekuan darah, sel darah platelet yang diaktifkan akan melekat sesama sendiri sebelum menjadi gumpalan darah. Aspirin, pada dos lebih rendah daripada yang digunakan bagi tujuan menghilangkan kesakitan, bertindak ke atas platelet berkenaan lalu ‘mencairkan darah’ dan mengelak berlakunya serangan jantung.

Kajian mendapati jika aspirin diberi ketika infarksi mikardium, ia boleh mengurangkan kadar kematian sebanyak 25 peratus. Oleh itu aspirin antara ubat paling penting untuk seseorang pesakit penyakit jantung koronari dan harus diambil sepanjang hayat dan tidak boleh dihentikan, walaupun sehari, melainkan atas sebab tertentu.

Bagi kebanyakan rawatan dan pembedahan kecil seperti mencabut gigi, aspirin tidak perlu dihentikan. Ini kerana pendarahan yang berlaku tidak serius dan mudah ditangani.

Bagaimanapun, untuk pembedahan lebih besar seperti pembedahan perut dan usus atau penggantian sendi lutut, pengambilan aspirin perlu dihentikan untuk beberapa hari bagi mengelak komplikasi pendarahan. Dalam apa pun situasi, anda harus mendapatkan nasihat pakar jantung yang merawat anda sebelum berhenti memakan aspirin.

No comments:

Post a Comment