Tuesday, August 21, 2012

Kalau Nak Tahu : Inilah Kisah Anak-Anak DERHAKA


SEPANG: Nasib seorang warga emas yang menghidap kanser payudara bagai sudah jatuh ditimpa tangga apabila ditinggalkan anak sendiri di rumah orang tua dalam keadaan sehelai sepinggang dan hanya memakai pakaian lusuh.

Lebih menyedihkan, keadaan kesihatannya bertambah teruk apabila kanser dihidapi mula merebak ke sebelah lagi payudara sehingga bernanah, sekali gus menyebabkan warga emas dikenali sebagai Norsiah itu kini hanya mampu terlantar.

Norsiah berusia 70-an mempunyai lima anak, namun tiada seorang pun anaknya mahu menjaga ibu mereka, apatah lagi membawanya untuk menerima rawatan di hospital.

Pengasas Pusat Rawatan dan Rumah Orang Al Ikhlas, Muji Sulaiman berkata, warga emas terbabit dihantar ke pusat jagaan kendaliannya di sini sejak Mei lalu oleh seorang daripada anak lelakinya tanpa meninggalkan sebarang ubat, pakaian mahupun keperluan lain.

“Ketika dia dihantar ke pusat ini, keadaan dia masih kuat, tetapi sebelah payudaranya sudah dibuang, manakala sebelah lagi sudah menunjukkan tanda bengkak, namun akibat tidak mendapat rawatan lanjut, payudaranya mula bernanah.

“Sebelum ini juga kami ada memaklumkan kepada anak warga emas terbabit supaya membawa ibunya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, malangnya permintaan kami tidak dilayan, malah kami ditengkingnya dan menuduh kami memandai-mandai,” katanya ketika ditemui.

Muji berkata, warga emas itu hanya mampu terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan pekerja pusat berkenaan untuk menguruskan diri termasuk makan, minum, selain terpaksa memakai lampin pakai buang.

Katanya, keadaan ibu tua itu juga kelihatan amat uzur dengan badannya yang kurus kering, manakala tangan kiri dan kakinya bengkak.

Katanya, beliau tidak mampu menghantar warga emas terbabit untuk mendapatkan rawatan di hospital akibat kekangan kewangan, selain kekurangan pekerja kerana pada masa sama terpaksa menjaga 55 penghuni lain.

“Sudah banyak kali kami menelefon anak mak cik Norsiah supaya datang melawat dan membawanya ke hospital, tetapi anaknya berdolak-dalih dan meminta kami menghubungi adik-beradik lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment