Friday, October 28, 2011

Kemiskinan : RM400 suap 7 mulut

TEMERLOH: Tidak banyak dapat dilakukan Asmayati Hamid yang berpendapatan bulanan kira-kira RM400 hasil upah menoreh getah untuk menyara enam anaknya yang semuanya masih bersekolah.

Kadang-kadang hati ibu tunggal berusia 46 tahun itu tersentuh dan ada masanya air matanya menitis apabila permintaan anak-anaknya tidak dapat dipenuhi lantaran duit gaji diterima perlu diuruskan dengan baik untuk keperluan lain yang lebih mendesak.

“Anak saya paling kecil berusia 11 tahun dan sebagai anak kecil, ada masanya dia mahu permainan atau makanan seperti ais krim. Hati ibu mana tidak sedih apabila permintaan sekecil itu pun tidak dapat ditunaikan. Duit yang ada perlu saya belanjakan untuk mereka yang masih bersekolah.

“Kalau cuaca baik dan tidak hujan, saya boleh mendapat upah sehingga RM400 tetapi kalau hujan, upah merosot teruk dan pernah satu ketika saya mendapat tidak sampai RM200. Bayangkan keadaan saya ketika itu, semuanya perlukan wang, tambahan pula anak-anak tinggal di asrama,” katanya yang sudah lebih setahun bergelar ibu tunggal.

Anak sulung Asmayati berusia 18 tahun kini belajar di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, manakala anak keduanya belajar di Politeknik Sultan Salahuddin di Shah Alam.

Anak ketiga dan kelima Asmayati berusia 16 dan 13 tahun, belajar di Sekolah Agama Al-Wosto, Temerloh manakala anak perempuan tunggal dan juga anak keempatnya, belajar di Sekolah Agama Al-Ittifakiyah, Guai.

Anak bongsunya berusia 11 tahun, belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Teluk Ira, Temerloh.

Kesempatan melihat sendiri rumah Asmayati hasil peninggalan suaminya di Kampung Bangau Parit, Temerloh, sudah cukup untuk menceritakan betapa sukarnya kehidupan ibu tunggal berkenaan.

Walaupun dibina dengan batu blok, dindingnya tidak dilepa dan kelengkapan rumahnya cukup sederhana, sekali gus menggambarkan Asmayati benar-benar memerlukan bantuan dan segala yang diceritakannya itu bukan direka untuk menagih simpati ramai.

“Memang saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan dan amat berterima kasih dengan bantuan itu tetapi sekarang, semuanya memerlukan duit. Bukan mudah bagi saya membesarkan anak-anak sendirian kerana belanja diperlukan besar.

“Saya mengharapkan Tuhan memberikan kesihatan baik untuk memudahkan saya mencari rezeki. Selagi saya termampu saya akan mengerahkan tulang empat kerat ini mencari nafkah buat anak-anak,” katanya yang perlu mengharungi perjalanan sejauh kira-kira 10 kilometer setiap hari untuk ke kebun getah majikan.

Beberapa bulan lalu, Asmayati terbabit dengan kemalangan ketika menunggang motosikal ke kebun dan akibatnya, lutut kanannya membengkak hingga hampir dibedah.

Walaupun bengkak itu akhirnya pulih tetapi dia tidak dapat menoreh lebih seminggu sekali gus menyebabkan pendapatannya merosot.

“Saya menerima gaji seminggu sekali dan hanya akan dibayar jika datang menoreh. Kalau tidak, saya tidak dapat apa-apa,” katanya dengan nada sebak.

No comments:

Post a Comment