Sunday, September 18, 2011

Peperangan Naning : Dol Said bunuh 40 askar Inggeris

Makam Dol Said
MELAKA: Seorang waris kepada pejuang Melaka, Datuk Dol Said mendakwa kerabat Naning tidak pernah menerima pengiktirafan selepas Inggeris memansuhkan Naning pada 1832.

Abu Hussin Datuk Mangun Ibrahim, 70, yang juga oneng-oneng (generasi ke-5) Dol Said berkata, Naning pernah berjasa mempertahankan tanah air pada masa dulu, justeru pihak berkenaan wajar memberi sedikit imbuhan kepada kerabat Naning yang masih ada.
Lukisan wajah Dol Said

  Menurutnya, kekuatan Naning ketika itu diakui pihak Belanda yang pernah berperang dengan Naning selama 10 tahun.

Beliau berkata, ketika Inggeris mahu menyerang Naning, Belanda memaklumkan kepada Inggeris bahawa Naning kuat dan bukan sembarangan orang walaupun hanya menggunakan senjata keris, pedang, tombak dan batu yang dilontar menggunakan tali.

“Bagaimanapun, Inggeris pada masa itu tidak percaya dan yakin boleh mengalahkan Naning dalam tempoh satu hari kerana memiliki senjata lebih canggih seperti senapang dan meriam.
Daerah Alor Gajah, terletaknya Naning 

“Pada 1829, Inggeris menghantar 40 askarnya dari Melaka ke rumah Dol Said bertujuan membawanya ke Melaka untuk berbincang, namun beliau enggan menuruti. Ketika itu Dol Said berada di atas rumah dan askar Inggeris memanggilnya turun, tetapi beliau enggan.

“Ini membuatkan askar Inggeris naik ke rumah Dol Said untuk memaksanya turun serta mengikuti mereka. Bagaimanapun, Dol Said bertempur dan menewaskan semua askar Inggeris,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherana Puteh, Alor Gajah, di sini.

Menurut Abu Hussin, sebaik mendapat tahu askar mereka ditewaskan Dol Said, Inggeris menghantar lebih ramai askar dan bermulalah Perang Naning pertama.
Masjid Tabuh Naning
Berdasarkan fakta sejarah, peperangan untuk menakluki Naning pada masa itu memihak kepada Naning diketuai Dol Said yang gagah dan bijaksana.

Pertempuran disertai pengikut Dol Said yang membantah campur tangan Inggeris di Naning, mengakibatkan Inggeris tewas dan terpaksa berundur ke Melaka semula selepas 20 hari serangan.

Pada Mei 1832, Inggeris melancarkan serangan kedua ke atas Naning dan mengerahkan lebih 1,000 askar lengkap dengan meriam. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan hebat daripada Dol Said dalam pertempuran sengit.

Dol Said dengan pintarnya menentang tentera Inggeris yang besar ketika itu menggunakan cara peperangan gerila. Akhirnya, selepas lima bulan pertempuran berlangsung, Inggeris berjaya menawan Taboh tetapi Dol Said berjaya melepaskan diri.

Abu Hussinyang juga mantan Datuk Seri Nan Kaya dan Datuk Lembaga Tiang Balai Wilayah Naning (Datuk Lembaga Tertua) berkata, Dol Said meninggal dunia pada 1849 akibat sakit tua dan disemadikan di makam besar berhampiran sawah padi di belakang Masjid Taboh Naning, Alor Gajah.

No comments:

Post a Comment