Thursday, September 1, 2011

Kebajikan : Saudara baru korban wang jaga orang tua di Pusat Jagaan Siti Nor Aini

KAJANG: Biarpun dia saudara baru, Dr Abdullah Noel Micheal seharusnya dicemburui kerana memiliki jiwa yang murni apabila bersusah payah mengorbankan wang dan tenaga dengan membuka sebuah rumah kebajikan, khusus untuk menjaga warga emas yang menghidap penyakit kronik dan tidak dipedulikan keluarga.

Lebih menarik perhatian, untuk menguruskan pusat kebajikan itu, Dr Abdullah, 40, dibantu kakaknya, Victoria Micheal yang beragama Kristian, selain isterinya, Siti Nor Aini Chelladurai, 36. “Apabila mereka melangkah masuk ke tempat ini, mereka sudah menjadi darah daging saya,” kata Dr Abdullah selaku pengasas Pusat Jagaan Siti Nor Aini, di sini.


Mengimbas kisah di sebalik usahanya membuka pusat kebajikan itu, Dr Abdullah berkata, hatinya terbuka untuk berbuat demikian selepas dia dan isteri bersama empat anak mereka memeluk Islam pada 9 September 2009.

“Sebelum itu, pada 2005, saya diserang angin ahmar ringan dan dirawat di hospital empat bulan. Sepanjang dirawat anggota keluarga tidak putus-putus melawat, namun nasib berbeza berlaku ke atas seorang warga emas di wad sama dengan saya.

“Dia lumpuh seluruh badan, namun tiada siapa datang melawat. Simpati dengan nasibnya, saya sering membantu jururawat menguruskan diri lelaki itu seperti menyuap makanan, menyalin lampin dan mengelap badannya,” katanya.

Dr Abdullah berkata, apabila kembali pulih, dia membuat kajian sama ada wujud agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga warga emas terlantar di hospital dan mendapati jumlahnya terlalu sikit selain mengenakan bayaran mahal setiap bulan.


“Daripada saya menuding jari menyalahkan orang lain, saya tekad menjual perniagaan besi buruk saya dan membuka sebuah pusat jagaan warga emas terlantar yang ditinggalkan keluarga di hospital kerajaan.

“Di Pusat Jagaan Siti Nor Aini, warga emas yang kami terima ada yang tidak boleh bangun, minum susu menerusi hidung dan ada juga yang sudah bernanah di belakang badan akibat terlalu lama terbaring. Kami anggap mereka sebahagian anggota keluarga, isteri saya akan memasak dan kami semua makan bersama masakan itu umpama keluarga besar,” katanya.

Dr Abdullah berkata, kakaknya, Victoria yang sebelum ini tinggal dan bekerja di Amerika Syarikat turut menghulur bantuan.

“Secara lebih khusus, dia menguruskan warga emas wanita di pusat jagaan dikenali Pertubuhan Kebajikan Rose yang terletak berhampiran Pusat Jagaan Siti Nor Aini,” katanya Menurutnya, sejak dibuka tiga tahun lalu, Pusat Jagaan Siti Nor Aini menerima 130 penghuni berusia 39 hingga 84 tahun dan dalam tempoh itu, kira-kira 30 orang dipujuk pulang ke pangkuan keluarga manakala 16 lagi sudah meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment