KAJANG: “Mak cik terkilan hasrat nak menumpang untuk sepinggan nasi bersama anak seorang pun tidak kesampaian, lebih baik mak cik bawa diri ke sini daripada terus makan hati dengan sikap dia dan menantu,” luah Masitah (bukan nama sebenar) sambil menitiskan air mata yang tidak mampu ditahan.
Warga tua berusia 65 tahun dan berasal dari Taiping, Perak itu berkata sebelum menjadi penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK), dia mengambil upah bekerja di estet getah dan kelapa sawit selama lebih 30 tahun.
Rumah Sei Kenangan Cheras |
“Kenapa mereka buat perkara seperti itu, sembilan bulan makcik kandung dia, sebelum ini pun dia ada buat perkara menyinggung hati tapi mak cik maafkan, apa salah makcik,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.
Sambil mengesat air matanya, Masitah dengan nada sebak berkata sanggup memaafkan kesalahan anak perempuan tunggalnya itu jika dia datang menjenguknya di RSK, namun anaknya yang tinggal di ibu negara itu tidak pernah menyusun tangan memohon maaf apatah lagi mempelawanya pulang ke rumah.
Ditanya apakah dia mengharapkan anaknya akan datang menjenguk pada Aidilfitri ini, Masitah sambil air matanya bergenang, menjawab ‘mak cik tidak kisah kerana di sini, saya senang dan gembira bersama rakan lain.’
“Kalau dia nak datang, datanglah. Kalau tidak datang pun makcik dah tidak kisah, mak cik hanya fikirkan satu benda saja, iaitu nak mati. Selain itu, mak cik sudah tidak ambil peduli,” katanya.
Masitah yang menjadi penghuni RSK sejak 2008 berkata, anak dan menantunya tidak pernah menghantarnya ke rumah perlindungan terbabit, tetapi dia sendiri meminta untuk menjadi salah seorang penghuni di sini kerana terkilan atas sikap serta layanan anak dan menantunya.
Dia juga menasihatkan masyarakat agar sentiasa menjaga hati ibu dan ayah kerana kasih sayang yang dilimpahkan kepada mereka tiada tolak bandingnya dan tetap kekal sampai ke akhir hayat.
No comments:
Post a Comment