Tuesday, July 26, 2011

Simbolik upacara perceraian di Jepun


TERAI (kanan) memegang cincin perkahwinan pasangan Kenji (kiri) dan Keiko
sebelum memulakan upacara memecahkannya dengan tukul.
 SEPASANG suami isteri dengan pakaian yang cantik berdiri sebelah-menyebelah. Mereka dikelilingi puluhan tetamu yang merupakan kawan-kawan rapat pasangan.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang mengenakan sut hitam dan boleh diibaratkan sebagai paderi menunjukkan isyarat untuk memulakan upacara penceraian.

Dengan kuasa yang dimilikinya, lelaki berkenaan kemudiannya mengarahkan pasangan suami isteri itu memecahkan cincin perkahwinan mereka dengan sebatang tukul.

Hiroki Terai yang bertindak sebagai perancang upacara penceraian di Tokyo yang juga pada majlis ketika itu berkata:

"Saya tak fikir konsep perceraian adalah satu perkara yang negatif. Daripada terus bertengkar sepanjang masa, adalah lebih baik mereka memutuskan saja perhubungan dan hidup secara berasingan."

Untuk rekod, kadar perceraian di Tokyo semakin ketara sejak era 1960-an. Purata kes perceraian dikatakan melibatkan 70,000 pasangan setiap tahun. Namun pada tahun 2009, ia meningkat empat kali ganda iaitu seramai 253,000 pasangan yang bercerai.

Terai berpendapat, masyarakat Jepun kini menganggap status perkahwinan dan hubungan kekeluargaan lebih mendatangkan tekanan. Justeru, mereka kini mencari peluang untuk melaraskan semula kehidupan yang lebih menenangkan.

"Bayangkan sejak saya kecil, saya selalu ingin tahu mengapa orang tidak mengadakan upacara perceraian sedangkan kalau perkahwinan ada pula satu majlis khas untuk itu.

"Perceraian yang bersifat mesra adalah satu acara yang sangat saya idamkan. Jika saya bercerai, saya mahu sebuah majlis diadakan," katanya bersahaja.

Terai sehingga kini memegang status bujang walaupun usianya sudah menginjak 31 tahun.

Pada minggu lalu, Terai menguruskan majlis perceraian ke-79 dalam kerjanya. Ia melibatkan pasangan Kenji, 38, dan isterinya, Keiko, 36. Terai membantu mereka menyambut permulaan hari bahagia setelah berpisah.

Kenji berterus-terang kepada wartawan sebelum upacara diadakan: "Kami berkahwin sejak tujuh tahun lalu dan saya akui ia bukan satu perkara mudah untuk mengakhirinya dengan hanya menandatangani persetujuan perceraian di atas sehelai kertas.

"Sebenarnya, ia merupakan satu peluang untuk kami menjelaskan perasaan kami seterusnya memulakan kehidupan baharu."

Pertolongan akhir

Bagaimanapun, Keiko yang memakai pakaian berwarna hitam, yang signifikan pada kod pakaian an upacara kematian, dilihat kurang berminat untuk memberi ulasan panjang lebar tentang majlis perpisahan mereka.

Wanita itu hanya berkata, dia berbuat demikian sebagai satu pertolongan terakhir kepada bekas suaminya.
PASANGAN Kenji dan Keiko dibawa berarak sekeliling kota dengan
lanca secara berasingan.
Untuk majlis itu, sebagai perancang majlis perpisahan, Terai telah menyediakan lanca untuk dinaiki secara berasingan oleh Kenji dan Keiko yang sedang bersedih.

Beberapa rakan dan taulan terdekat dijemput mengikuti upacara menaiki lanca itu di belakang mereka. Pasangan itu kemudiannya, diserahkan kepada juruacara majlis dan merujuk mereka sebagai 'bekas pengantin lelaki' dan 'bekas pengantin perempuan'.

"Di sebalik keputusan untuk bercerai, terdapat banyak perkara kompleks yang harus anda fahami.

"Kita mendoakan agar hari ini merupakan satu permulaan yang baik untuk kamu berdua," kata juruacara itu.

Sejurus selepas itu, lelaki berkenaan menyerahkan tukul dan meminta pasangan berkenaan memecahkan cincin perkahwinan. Ia disusuli dengan tepukan gemuruh daripada para tetamu.

Upacara terakhir itu nyata membuatkan Keiko bercucuran air mata.

"Ia adalah penghujung kepada sebuah derita, saya terasa sedikit sayu," kata Keiko dengan senyuman dalam tangisan.

Terai yang kini meluaskan perkhidmatannya di Korea Selatan iaitu negara yang mempunyai kadar perceraian tertinggi di Asia berkata, reaksi Keiko itu adalah emosi biasa yang selalu berlaku dalam upacara sedemikian.

"Biasanya setelah memecahkan cincin, mereka kelihatan seperti merasa lega. Tetamu pula menyambut perpisahan itu dengan rasa gembira," katanya.

Dalam pada itu, Terai memberitahu, lebih banyak golongan suami yang menolak pendekatan tersebut untuk mengakhiri sebuah perkahwinan berbanding pihak wanita.

"Bila perhubungan itu berakhir, lazimnya kaum wanita dilihat berupaya mengatur perjalanan hidup dengan mudah, tapi lelaki sukar untuk berbuat demikian," katanya sambil memberitahu sembilan pasangan yang dikendalikannya telah berubah fikiran lalu menolak untuk bercerai pada saat-saat akhir. - AFP

No comments:

Post a Comment