PELAJAR terpaksa melalui jambatan kayu merentasi Sungai Tok Sadang yang hampir runtuh. |
Jambatan kayu merentangi sungai berkenaan adalah satu-satunya laluan alternatif penduduk kampung dari sekitar Pantai Cahaya Bulan (PCB), Lapan Pari, Pantai Madat, Tanjung Baru dan Che Deris untuk ke Pengkalan Chepa dan Kota Bharu ketika laluan utama di Jalan PCB ditenggelami banjir.
Sehubungan itu, penduduk meminta kerajaan membina jambatan baru bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku berikutan jambatan itu semakin reput dan membahayakan nyawa.
Pemandu van dari Kampung Lapan Pari, Zubir Mohamad, 43, berkata, beliau bimbang melihat keadaan jambatan itu semakin uzur tetapi terpaksa menggunakannya setiap hari untuk menghantar dan menjemput dua anaknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pengkalan Chepa dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, di sini.
"Saya tidak sanggup membiarkan dua anak berbasikal ke sekolah kerana bimbang keselamatan mereka terutama jambatan kayu itu kini semakin reput dan lantainya banyak berlubang.
“Saya memohon pihak berkenaan menyegerakan pembinaan jambatan konkrit bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Pelajar Tingkalan Tiga SMK Pengkalan Chepa, Wan Maizatul Wan Mohamad, 15, berkata setiap hari dia berbasikal dari rumahnya di Kampung Lapan Pari di sini melalui jambatan kayu Tok Sadang untuk ke sekolahnya.
"Saya pernah terperosok di pinggir jambatan itu kerana lantainya berlubang,” katanya.
Penjaja, Yaacob Yusof, 65, berkata setiap hari dia melalui jambatan usang itu menggunakan motosikal roda tiga untuk ke sekitar Pengkalan Chepa bagi menjaja pelbagai barangan runcit, selain kelapa jeli
No comments:
Post a Comment