SENDAI (Jepun): Satu gempa bumi kuat melanda timur laut Jepun, semalam dan mencetuskan amaran tsunami sebulan selepas tragedi gempa, tsunami dan kebocoran loji nuklear melumpuhkan pantai timur laut negara itu.
Gempa berukuran 7.1 magnitud itu menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo ditutup seketika. Pusat gempa dikesan kira-kira 160 kilometer di utara Tokyo.
Bagaimanapun, kakitangan di loji nuklear Fukushima berkata, gempa terbaru itu tidak memberi kesan kepada loji berkenaan.
Amaran ancaman tsunami setinggi satu meter dikeluarkan sama seperti yang berlaku dalam kejadian gempa minggu lalu di kawasan sama. Namun, gempa itu tidak membawa tsunami.
Orang ramai di kedai elektronik yang besar di timur laut Sendai menjerit dan berlari keluar walaupun gegaran menyukarkan pergerakan. Ibu-ibu merangkul anak mereka dan tingkap kedai bergegar. Selepas seminit dua, orang ramai masuk semula ke dalam kedai itu.
Tiada kerosakan baru dilaporkan.
Gegaran gempa susulan melanda kawasan timur laut negara itu berulang kali tetapi tiada apa lagi yang tinggal perlu dibimbangi akan rosak. - AP
No comments:
Post a Comment