Sunday, April 24, 2011

Imam Besar Masjidil Haram kagum kemajuan Islam di Malaysia

AL-SYEIKH Abdul Rahman ketika menyampaikan ceramah di Kuala Lumpur,
baru-baru ini. Al-Syeikh As-Sudais mahu umat kuasai ilmu, bahasa Arab untuk kejayaan

BERDEGUP jantung mendengar ceramah ringkas Imam Besar Masjidil Haram, Al-Syeikh Dr Abdul Rahman Abdul Aziz As-Sudais di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Walaupun disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Arab, hadirin menerima mesejnya melalui terjemahan. Cukup menusuk hati terutama ketika ulama agung itu membacakan doa memohon keberkatan umat manusia.

Keindahan bacaan ayat suci al-Quran, ketenangan pada wajahnya mengiyakan semua cerita yang didengar sebelumnya kerana ulama ini cukup dikenali dan dikagumi selaku imam satu Masjidil Haram yang sering mengimamkan solat Tarawih.

Beliau menyeru umat Islam supaya kembali bangkit membina tamadun agung Islam seperti yang pernah dikecapi sebelum ini dengan syarat semuanya mesti berlandaskan ajaran Islam sejati.

“Pelaksanaan Islam berasaskan pengetahuan Islam yang betul akan menghasilkan tamadun yang agung. Jika umat dulu mampu melakukannya, umat masa kini juga mampu. Misalnya Malaysia mengorak langkah ke arah yang perlu dicapai umat,” katanya.

Apa yang perlu dilakukan ialah umat Islam mesti sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah kerana syukur itu adalah separuh daripada iman, separuh lagi adalah sabar.

“Antara nikmat besar yang dianugerahkan Allah ialah nikmat Islam, maka kita wajib bersyukur. Syukur itu ada tiga kategori, iaitu syukur dengan hati, dengan lidah dan syukur dengan amalan serta pekerjaan yang dilakukan.

“Marilah kita tingkatkan akidah keimanan kerana semua itu bertujuan ke arah mencapai kebenaran dan pengukuhan keimanan,” katanya.

Bagi mencapai kesempurnaan hidup, Al-Syeikh Dr Abdul Rahman turut menggariskan empat perkara yang perlu dilakukan, iaitu beriman, menterjemahkan iman kepada amalan salih, saling menasihati atas dasar kebenaran dan nasihat untuk bersabar menghadapi ujian, cabaran hidup ke arah merealisasikan keIslaman diri.

Ketika banyak negara lain kacau-bilau, bergolak dan tidak tenteram, katanya, umat Islam di Malaysia cukup beruntung kerana hidup dengan aman.

“Ujian itu datangnya dalam pelbagai corak. Kami di (Arab) Saudi, anda di Malaysia, kita dapat nikmat hidup dalam aspek keselamatan, keamanan, kesihatan dan sebagainya. Sebab itu kita perlu tingkatkan kesyukuran, akidah dan mendidik masyarakat,” katanya.

Satu daripada rahsia mencapai kejayaan yang ditekankan beliau ialah menyeru umat Islam menguasai ilmu, terutama menguasai bahasa Arab ke tahap maksimum.

Baginya, bahasa Arab adalah bahasa orang Islam, bukannya bahasa orang Arab kerana jika mampu menguasai bahasa itu, ia akan meningkatkan personaliti Islam itu sendiri.

“Saya ajak anda fahami Islam sebenarnya, bukannya Islam yang ditafsir dengan pelbagai tafsiran. Apabila menguasai Islam sebenar, kita mampu hadapi cabaran dengan baik dan akhirnya mampu mewujudkan tuntutan akidah iaitu kesatuan Islam.

“Jika kita gagal mantapkan perkara tadi, kita tidak akan mencapai kesepaduan Islam,” katanya sambil menambah umat Islam mempunyai tanggungjawab menyebarkan agama Islam tetapi pada masa sama bersikap toleransi kepada bukan Islam.

“Kita diwajibkan menyeru orang bukan Islam supaya memeluk Islam tetapi jika mereka menolak, tanggungjawab itu dianggap selesai tetapi hidup toleransi mesti dikekalkan,” katanya sebelum mengakhiri ceramah dengan bacaan doa.

Tidak hairanlah, penterjemah ceramah itu sendiri mengakui, sukar baginya menterjemah secara sepenuhnya apa yang disampaikan kerana baginya, amanat ringkas yang disampaikan ulama besar itu semuanya mempunyai ‘isi’ dan mesej penuh makna.

Sikap rendah diri itu juga jelas apabila sendiri memohon kerjasama supaya gambarnya tidak dirakam ketika sedang menikmati jamuan makan tengah hari di Masjid Assyakirin, KLCC, Kuala Lumpur.

Di celah hadirin yang mendengar amanatnya, terdengar bisik-bisik ‘tengok wajahnya, bersih dan tenang. Tidak hairanlah jika dia langsung tidak menonton televisyen.’

Jika apa yang diperkatakan itu benar, jelas sekali ulama besar itu memilih untuk tidak lalai dengan apa saja yang berunsur hiburan dan melalaikan.

No comments:

Post a Comment