Wednesday, April 13, 2011

Diskriminasi : Tutup periuk nasi OKU

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang sanggup mendiskriminasi golongan orang kurang upaya (OKU) sehingga menutup periuk nasi mereka yang cuba berdikari.

Maimunah Ahmad, 56, yang mempunyai anak OKU, terkilan apabila masyarakat yang sepatutnya prihatin dan meringankan bebanan golongan terbabit, memandang rendah serta mengambil kesempatan di atas kekurangan anaknya.

Anaknya, Muhammad Hadi Nor, 23, mengalami kemalangan jalan raya ketika bayi hingga menyebabkannya menerima kecacatan kekal iaitu lumpuh anggota badan sebelah kanan.

Muhammad Hadi menerima qada dan qadar Ilahi, namun tidak tahan apabila kerap diberhentikan kerja akibat kecacatan yang dimilikinya walaupun mampu bekerja seperti orang normal.

“Hadi menerima elaun pekerja cacat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan tetapi kerana keinginannya untuk berdikari, dia memohon pekerjaan di beberapa tempat seperti pengawal sekolah dan kawasan perumahan.

“Namun, beberapa minggu bekerja, dia dibuang kerana guru besar dan ketua bahagian perumahan tidak mahu OKU bekerja di situ. Itulah juga alasan saya terima apabila gaji anak diberi RM26 sebulan selain dibayar secara ansuran dengan jumlah yang kecil,” katanya.

Menurut Maimunah, sebuah pertubuhan yang memberi kontrak kerja kepada anaknya dengan gaji paling rendah, mengatakan Muhammad Hadi beruntung diberi kerja olehnya kerana pemuda itu tidak akan diterima bekerja di tempat lain dengan kekurangannya itu apabila isu gaji yang dibayar dengan kadar rendah dan secara ansuran dipersoalkan.

No comments:

Post a Comment