Sunday, April 3, 2011

Bencana 3 Serangkai Jepun : Ramai masih hilang

Miyagi Prefecture
MIYAGI: Komuniti Islam di Jepun, sama ada rakyat tempatan atau warga asing yang bekerja dan belajar di sini, ada yang turut terkorban serta gagal dikesan hingga kini manakala mereka yang terselamat kini trauma dan menderita akibat bencana tsunami pada 11 Mac lalu.

Di Sendai, dekat sini, kira-kira 500 masyarakat Muslim yang semuanya bernaung dengan Pusat Islam Sekeliling Sendai (ICCS), sering berkumpul beramai-ramai bagi melakukan aktiviti ibadat serta beramah mesra setiap minggu, namun selepas gempa dan tsunami melanda ramai gagal dihubungi.

Kapal yang dihanyutkan ke daratan
Presiden ICCS, Mohamad Naburo Sato Abdullah, berkata sejurus selepas tragedi berlaku dia cuba menghubungi semua saudara dan rakan Muslim lain tetapi tidak berjaya kerana komunikasi terputus sama sekali.

Dia yang juga imam Masjid Sendai, Haciman berkata hubungan komuniti Islam di sini rapat dan mereka sentiasa berhubung antara satu sama lain.

Pemandangan yang menarik sebelum Miyagi Prefecture
“Sebaik gempa berhenti saya terus cuba menghubungi keluarga mentua di Ichinomaki, kira-kira 50 kilometer dari sini tetapi tidak berjaya, menyebabkan kami risau kerana kawasan itu berdekatan laut.

“Berhari-hari saya cuba menghubungi mereka dan keadaan huru-hara ketika itu menyebabkan semua komunikasi terputus,” katanya ketika ditemui di Masjid Sendai.

Sato berkata, selepas seminggu kejadian terburuk dan dahsyat pernah dialaminya itu, baru dia dapat menjejaki keluarganya di pusat penempatan sementara.

Simbol Miyagi Prefecture
Mereka ditemui pasukan penyelamat di atas bumbung rumah dua hari selepas kejadian dalam keadaan lemah akibat kesejukan dan lapar.

“Bapa dan emak mentua serta ipar saya menyelamatkan diri ke tingkat atas rumah tetapi air deras yang menghanyutkan kereta, rumah, bot dan bermacam lagi kira-kira 30 minit selepas gempa berlaku menyebabkan mereka terpaksa panjat ke bumbung rumah.

“Apabila reda, mereka tidak dapat turun kerana seluruh kawasan ditimbuni pelbagai sisa kemusnahan tsunami,” katanya.

Sato berkata, dia bersyukur semua ahli keluarga terselamat tetapi reda dengan kematian beberapa saudara Muslim, termasuk beberapa lagi yang gagal ditemui hingga kini.

Katanya, setakat ini kira-kira enam masyarakat Islam warga Indonesia yang bekerja sebagai nelayan dilaporkan hilang manakala seorang warga Pakistan disahkan maut.

Hampir sebulan berlalu, namun kesan serta penderitaan masyarakat di sini masih berterusan akibat bekalan makanan, air, elektrik serta minyak belum pulih sepenuhnya.

Sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan di Jepun Kelab Putera 1Malaysia yang berjaya menjejaki komuniti Islam di sini turut menyampaikan bantuan barangan keperluan seperti makanan, air mineral dan selimut pada pihak Masjid Sendai untuk diagihkan kepada masyarakat Islam dan warga tempatan.

No comments:

Post a Comment