CHRISTCHURCH (New Zealand): “Saya bernasib baik mengalami kecederaan ringan kerana hanya dalam jarak beberapa meter, enam orang maut selepas sebuah bas dihempap runtuhan akibat gempa bumi, dua minggu lalu,” kata Julie Yeo, seorang rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan dalam bencana gempa bumi di sini, 22 Februari lalu.
Julie, 46, berkata ketika gempa bumi itu berlaku, dia berjalan kaki berhampiran beberapa blok kedai di Colombo Street, di sini.
“Ketika itu saya bergegas untuk menghadiri mesyuarat, tiba-tiba berlaku runtuhan dan serpihan batu-bata melayang ke arah saya,” katanya yang ditemui di Ilam, di sini, malam kelmarin.
Julie antara rakyat Malaysia yang dikunjungi Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim untuk melihat dan bertanya khabar selepas terjejas akibat gempa bumi sekuat 6.3 skala Richter itu.
Julie yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, akibat kejadian itu dia cedera di kepala, dahi, dagu dan jari kelingking kiri.
“Ketika saya jatuh, dua pekerja pembinaan datang membantu manakala seorang pemandu kereta menghantar saya ke hospital.
Ketika itu saya langsung tidak tahu enam orang maut hanya beberapa meter dari tempat saya jatuh selepas bas yang mereka naiki musnah dihempap runtuhan bangunan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, dia lega kerana Julie hanya cedera ringan dalam kejadian itu
Sepanjang misi bantuan di sini, kita akan berusaha bertemu semua rakyat Malaysia bukan saja pelajar tetapi juga mereka yang sudah lama bermastautin bagi menghulurkan bantuan,” katanya.
No comments:
Post a Comment