Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Jika tidak ada apa-apa masalah, semua penuntut dan rakyat Malaysia di Mesir dijangka dibawa keluar ke Jeddah, Arab Saudi sebelum 12 Februari ini,” kata Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.
Rodzali berkata, pada perancangan awal TUDM dijadual melakukan tiga penerbangan pergi balik untuk setiap tiga pesawat C-130 dalam tempoh 24 jam membabitkan kira-kira 1,800 rakyat Malaysia di sana.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini TUDM hanya mampu melakukan dua penerbangan bagi setiap pesawat berikutan pelbagai kekangan di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kaherah dan Iskandariah serta LTA Jeddah.
“Untuk melintasi ruang udara antarabangsa, setiap pesawat tentera tertakluk kepada pelbagai prosedur khusus dan bergantung kepada kerenah birokrasi yang selalunya mengambil masa panjang.
“Justeru, dalam keadaan sedemikian TUDM hanya dapat membawa keluar 1,200 orang dalam tempoh 24 jam setakat ini. Jika semua faktor ini dapat diatasi, kita pasti dapat mencapai matlamat awal mengeluarkan 1,800 orang sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Pusat Operasi Tentera Udara, pangkalan Udara Kuala Lumpur, Sungai Besi Dekat sini, semalam. Turut hadir Panglima Operasi Udara TUDM, Datuk Ackbal Abdul Samad.
Untuk operasi semalam, 1,711 orang rakyat negara ini berjaya dibawa keluar dari Mesir ke Jeddah sehingga tengah malam.
Daripada jumlah itu, 1,211 orang dibawa menerusi penerbangan bersama pesawat C-130 dari Kaherah dan Iskandariah, manakala 500 orang lagi dibawa keluar dengan kapal MV Bunga Mas 5 melalui Pelabuhan Tawfik, Mesir kira-kira jam 10 malam tadi.
Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang selamat dibawa keluar ke Jeddah sejak Ops Piramid bermula 2 Februari lalu ialah 3,106 orang. Ia termasuk 1,395 orang yang dibawa keluar melalui Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia.
Ketua Misi Ops Piramid di Jeddah dan Mesir diketuai oleh Kolonel Mutalib Abdul Wahab.
TUDM turut bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara, Wisma Putra, Konsul Jeneral di Jeddah, MAS, AirAsia, MISC, Tentera Laut Diraja Malaysia, Atase Pertahanan Malaysia di Jordan, LTA Jeddah dan Tentera Udara Diraja Saudi.
read more @ Metro Ahad:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011020601010720110206010107/Article/artikelMA
No comments:
Post a Comment