TANPA KOS TINGGI... menggunakan komputer peribadi, imej imbasan ke atas pesakit dapat dilihat dalam bentuk 3D. |
Lebih menarik, berbanding teknik imbasan semasa yang menggabungkan teknologi sinar x, MRI dan ultrabunyi, perisian BodyViz lebih mudah dikendalikan, malah ia dapat dilakukan menggunakan alat kawalan permainan video Xbox.
Melalui teknologi dihasilkan BodyViz, doktor atau pakar bedah boleh mengawal alat pengimbas untuk ‘menjelajah’ ke mana-mana bahagian dalam tubuh yang ingin diperiksa, termasuk di bawah kulit, salur darah, tulang atau organ lain.
Jika perlu, mereka boleh memotong mana-mana lapisan tubuh pesakit dan mencuba pembedahan secara maya bagi mendapatkan gambaran awal mengenai kesan serta keperluan sebenar apabila pembedahan sebenar dilakukan kemudian.
Pakar perubatan turut boleh mengubah suai imej imbasan itu dengan memasukkan warna tertentu ke bahagian yang dirasakan perlu. Semuanya untuk memberi kemudahan dan ketepatan analisis dibuat sebelum rawatan lanjut dilakukan.
Pegawai BodyViz, Scott Rodenburg berkata, perisian itu kini dijual kepada doktor di Britain dan setakat ini sambutan menggalakkan.
Dijual pada harga £4,000 (RM19,646), ia turut mendapat perhatian banyak pihak.
“Ia dijual pada harga rendah kerana pengguna tidak memerlukan teknologi baru, sebaliknya menggunakan kemudahan sedia ada — seunit komputer peribadi dan alat kawalan Xbox,” katanya.
Perisian itu mula dicipta di Universiti Iowa, AS, dan kini digunakan di Hospital Methodist di Houston, Texas.
Ketua Unit Radiasi Onkologi di hospital itu, Dr Brian Butler berkata, teknologi ditawarkan BodyViz membolehkan pakar pembedahan memilih kaedah paling tepat untuk merawat pesakit.
“Imej 3D yang dipapar membolehkan doktor melihat secara jelas bahagian dalaman pesakit — sesuatu yang tidak dapat dilakukan sebelum ini,” katanya.
Dr Butler berkata, jika doktor perlu membuang sebahagian daripada hati pesakit, imej imbasan BodyViz boleh memberi gambaran sebenar bagaimana organ itu apabila dibedah nanti.
Jika perlu, katanya, doktor boleh membuat pengubah suaian bagi meminimumkan risiko ke atas pesakit. “Semuanya hanya dengan menekan satu butang,” katanya.
Di hospital itu, pakar pembedahan menggelar kemudahan berkenaan dengan nama Plato’s Cave sempena satu daripada karya pemikir agung Yunani, Plato.
Menggunakan kaca mata stereoskopik, pakar pembedahan akan menganalisis keadaan tubuh serta organ pesakit dalam bentuk 3D dengan mudah. Perisian itu juga boleh digunakan pelajar perubatan.
Pengarah Klinik di Universiti Des Moines, Gregory Kolbinger berkata, BodyViz adalah teknologi yang sangat unik kerana membenarkan penuntutnya melihat bagaimana sesuatu prosedur pembedahan boleh dilakukan secara minimum.
“Pakar bedah pada masa depan akan lebih bersedia melakukan pembedahan dengan risiko jauh lebih rendah dan pesakit dapat dirawat dengan lebih selamat dan pantas,” katanya.
No comments:
Post a Comment