PEMAIN perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) dan beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong mara ke saingan separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Korea Selatan.
Kejayaan tersebut hadir selepas Chong Wei menewaskan pemain China, Wang Zhengming 21-14, 21-19 pada saingan suku akhir manakala Kien Keat/Boon Heong menundukkan rakan senegara, Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari/Ong Soon Hock 21-17, 12-21, 21-16, semalam.
Pada aksi separuh akhir hari ini, Chong Wei selaku Raja Siri Super yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan dilihat berdepan halangan sukar apabila turun menentang pemain China, Du Pengyu.
Sementara itu, bayangan perlawanan akhir di antara Chong Wei dengan musuh tradisinya, Lin Dan semakin hampir menjadi kenyataan apabila pemain China itu turut mara ke peringkat separuh akhir.
Lin Dan yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia 21-13, 8-21, 21-15.
Lin Dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengenepikan pemain muda Indonesia Simon Santoso dalam saingan separuh akhir hari ini.
Sementara itu, dalam saingan acara beregu, Kien Keat/Boon Heong diberi tentangan sengit oleh gandingan baru Fairuzizuan/Soon Hock.
Meskipun menang set pertama 21-17, beregu No. 5 dunia itu diheret ke set penentuan setelah tewas pada set kedua 12-21.
Fairuzizuan/Soon Hock bagaimanapun gagal menyaingi kehebatan bekas beregu No. 1 dunia itu apabila Kien Keat/Boon Heong beraksi lebih garang pada set ketiga untuk menamatkan permainan 21-16.
Kien Keat/Boon Heong bakal berdepan beregu No. 7 dunia, Jung Jae Sung/Lee Yong Dae dari Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir acara beregu lelaki hari ini menyaksikan pertembungan diantara pasangan No. 1 dunia, Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark menentang gandingan Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Yoo Yeon Seong.
No comments:
Post a Comment