Berita Harian : Oleh Faizul Azlan Razak; 2011/01/26
p/s: 623 anak tak sah taraf di Terengganu tahun lalu sahaja, di Terengganu yang mempunyai penduduk seramai 1.7juta, kalau Selangor dengan 4.9juta penduduk dan seluruh Malaysia dengan 29juta, rasa-rasanya mencapai 11 ribu anak luar nikah, dan yang lebih menggerunkan lebih 70% dikalangan muslim, MASYA-ALLAH!
KUALA TERENGGANU: Seramai 623 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini tahun lalu, dipercayai akibat pergaulan bebas terutama di kalangan wanita Islam.
Lebih mengejutkan, daripada jumlah itu kadar tertinggi dicatatkan pada Mei tahun lalu dengan 72 kelahiran, diikuti 60 kelahiran pada September.
Berdasarkan perkiraan kasar, pasangan terbabit dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sembilan bulan sebelum kelahiran, iaitu sekitar akhir Ogos dan Disember atau lebih tepat lagi pada sambutan Kemerdekaan Negara dan Tahun Baru. Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Ghazali @ Suhaimi Muhammad, berkata jumlah kelahiran anak tidak sah taraf itu dicatatkan di sembilan pejabat JPN Terengganu membabitkan bayi pelbagai agama daripada pasangan tempatan dan bukan warga negara.
Katanya, pejabat JPN Kuala Terengganu mencatatkan jumlah anak tidak sah taraf tertinggi dengan 188 kelahiran diikuti Besut (102), Dungun (78), Setiu (68), Kemaman (63), Hulu Terengganu (43), Marang (30), Al-Muktafi Billah Shah (28) dan Kerteh (23).
“Melihatkan perangkaan ini, ia jelas sangat menggerunkan kerana menandakan gejala sosial semakin kronik. Lebih menyedihkan, majoriti bayi dilahirkan beragama Islam dan tidak diketahui siapa bapa sebenarnya.
“Senario ini juga secara tidak langsung membuatkan JPN menjadi beban kepada masalah sosial dan boleh menyebabkan berlaku masalah lain di kalangan masyarakat terutama membabitkan masa depan bayi terbabit.
“Jadi, kita meminta kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bersama membanteras pergaulan bebas bagi mengelak mereka terjerumus ke lembah maksiat dan melahirkan anak luar nikah,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di pejabat JPN Terengganu, di sini, semalam.
Ghazali berkata, walaupun anak luar nikah mendapat keistimewaan sama rata dari segi kemudahan kesihatan dan pendidikan, namun bayi berkenaan berdepan risiko masa depan tidak menentu.
No comments:
Post a Comment