Saturday, January 15, 2011

Atlet paralimpik kecewa

Special Olympics World Games
Athens 2011
Memang diakui mereka kecewa kerana tiada media buat cover, tetapi mereka patut bersyukur kos ke pertandingan dan latihan ditanggung oleh kerajaan, anak tiri pun masih anak juga..........

Tak macam atlet Special Olympics, seramai 42 orang atlet Special Olympics telah terpilih untuk mewakili Malaysia ke Athens pada Special Olympics World Games 2011, Jun ini, tetapi tidak seorang pun yang dapat tajaan dari kerajaan, 8 orang dari mereka adalah atlet Special Olympics dari PDK-PDK.

Kos untuk seorang adalah RM6,500.00, lebih murah dari menghantar atlet paralimpik ke Korat, Thailand, malah jauh lebih murah dari kos menghantar atlet Sea Games ke Korat.

Harap kerajaan dapat juga beri perhatian kepada atlet Special Olympics.

TIDAK tahu di mana silapnya, atlet paralimpik negara mendakwa mendapat layanan kelas kedua media berikutan tiada hebahan mengenai kejayaan kontinjen itu ketika mengungguli Kejohanan Sukan Para Asia 2010 di Guangzhou, China, 12 Disember lalu.

Malah, ketika kejohanan berlangsung hingga 19 Disember, kontinjen paralimpik Malaysia mendakwa dianak tirikan berikutan tiada liputan media, apatah lagi siaran langsung yang membolehkan rakyat tempatan menonton aksi cemerlang atlet.

Penaung Majlis Paralimpik Malaysia, Tun Jeanne Abdullah melahirkan rasa kecewa apabila mengenangkan atlet paralimpik tidak memperoleh perhatian seperti mana diterima atlet negara yang beraksi di temasya sama.

“Kami kecewa. Tiada rakyat Malaysia mengetahui pencapaian atlet paralimpik kerana tiada siaran langsung sedangkan ketika atlet Sukan Asia beraksi, anda memberi sepenuh tumpuan, liputan bermula daripada majlis pembukaan hingga selesai.

“Tak cukup itu, setiap perlawanan membabitkan Malaysia, ditayang secara langsung, namun Sukan Para Asia tiada. Kenapa berlaku begitu? Saya mahu rakyat melihat atlet buta beraksi dan yang tiada kaki boleh bermain ping pong. Malangnya mereka tak dapat menonton aksi itu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran program Hutan Kita @ Paralympic Park di Taman Bukit Jalil, semalam. Turut menemaninya, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Hadir sama, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Zainal Abu Zarin, Chef-de-Mission kontinjen negara ke Kejohanan Sukan Para Asia 2010, Datuk Dr Ramlan Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Landskap Malaysia, Datuk Ismail Ngah.
Jeanne yang juga Pengerusi Landskap Malaysia percaya penduduk tempatan sebenarnya mahu mengetahui prestasi atlet paralimpik, terutama di peringkat antarabangsa.


“Orang kita nak tahu tapi mereka tak pasti saluran mana nak dapat sedangkan kawan saya di Melbournepun dapat menyaksikan Sukan Para Asia secara langsung apabila dia menelefon menyatakan melihat saya di televisyen,” katanya.

“Tapi di Malaysia, saya tak tahu kenapa tiada siaran langsung atau laporan berterusan, saya tiada jawapan itu. Namun, kalau kita percaya terhadap 1Malaysia, maka 1Malaysia patut untuk semua, termasuk orang kurang upaya,” katanya.

Skuad paralimpik negara berjaya memenangi 45 pingat merangkumi sembilan emas, 13 perak dan 23 gangsa, sekali gus meletakkan negara di kedudukan keenam dalam senarai pungutan pingat yang disertai 41 negara.

Program Hutan Kita @ Paralympic Park diadakan bertujuan mengiktiraf kejayaan atlet paralimpik yang cemerlang di kejohanan lalu dengan 70 pokok hutan tropika ditanam khas untuk mereka sebagai tanda penghormatan dan dinamakan mengikut nama masing-masing.

No comments:

Post a Comment