Saturday, September 4, 2010

Makanan Asas Puasa-Minum 9 gelas air bagi tempoh berbuka hingga sahur elak letih

Minum 9 gelas air bagi tempoh berbuka hingga sahur elak letih


BERAPA gelas air yang anda ambil antara waktu berbuka hingga sahur semalam? Jika dua gelas saja, ia sebenarnya tidak mencukupi untuk keperluan tubuh anda walaupun mungkin tidak berasa dahaga. Air adalah antara komponen kimia utama tubuh dan membentuk 60 peratus berat badan. Setiap sistem tubuh anda bergantung kepada air. Misalnya, organ utama memerlukan air untuk menyingkirkan toksin selain air membawa nutrisi ke sel-sel badan. Ia juga membekalkan persekitaran lembab kepada telinga, hidung dan tisu di tekak. Sumber penting ini juga melicinkan sendi dan bertindak sebagai penyerap kejutan di dalam mata dan tulang belakang. Kekurangan air akan menyebabkan tubuh tidak boleh berfungsi seperti biasa - keadaan yang disebut dehidrasi.

Malah jika anda berhadapan dengan maslah kurang air atau dehidrasi tahap sederhana pun ia akan menyebabkan anda lemah dan kurang bertenaga.

Dehidrasi sebenarnya masalah umum ketika berpuasa. Ini kerana tubuh kehilangan air dan garam secara berterusan apabila bernafas, berpeluh dan membuang air kecil. Bagaimanapun jumlah air yang hilang bergantung juga kepada cuaca, berapa banyak air yang anda ambil sebelum berpuasa selain tahap aktiviti fizikal anda dan keupayaan ginjal anda mengekalkan air dan garam.

Justeru, pengambilan air antara waktu berbuka dan bersahur seharusnya tidak dipandang ringan. Kurang mengambil air meningkatkan risiko dehidrasi.

Dua pertiga daripada tubuh adalah air. Apabila seseorang itu berhadapan dengan dehidrasi, ia bermakna tahap air dalam tubuhnya menurun daripada keperluan tubuh yang biasa. Bagaimanapun, jumlah penurunan yang sedikit tidak akan menyebabkan masalah. Malah dalam kebanyakan kes, ia akan berlalu begitu saja tanpa disedari. Namun, jika jumlah air yang hilang terlalu banyak, ia akan menyebabkan anda berasa tidak selesa.

Kerap kalinya, jika anda muntah, cirit birit, mengambil ubat-ubatan yang meningkatkan kekerapan anda membuang air (diuretik) dan kerap berpeluh akan membawa kepada masalah dehidrasi.

Masalah Dehidrasi ditandai dengan rasa tidak sihat, lemah, kejang, pening malah ada yang rebah dan pengsan.

Selain warga tua dan pesakit diabetes, mereka yang berisiko berhadapan dengan masalah dehidrasi adalah mereka yang berhadapan dengan penyakit kelenjar. Dehidrasi juga biasa ditemui di kalangan kanak-kanak, terutama mereka yang baru belajar berpuasa. Justeru, memastikan anak anda mendapatkan jumlah air yang mencukupi sangat penting.

Bagaimanapun, elakkan pengambilan minuman kafein. Ini disebabkan minuman jenis ini bersifat diuretik. Tidak dapat dipastikan sama ada kafein menyebabkan dehidrasi namun, dalam keadaan cuaca panas dan anda berpuasa, seharusnya minuman kafein dielakkan.

Jadi, berapa sebenarnya keperluan air anda? Umumnya anda disarankan mengambil antara lapan hingga sembilan gelas. Bagaimanapun, ini panduan ringkas untuk anda;

Umumnya kadar air kencing dewasa adalah sekitar 1.5 liter (kira-kira 6.3 cawan) sehari. Umumnya anda akan hilang empat cawan air kerana bernafas, berpeluh dan pergerakan sistem pencernaan. Makanan pula selalunya membentuk 20 peratus daripada jumlah pengambilan cecair anda. Justeru jika anda mengambil dua liter air selain amalan diet normal anda, pengambilan air anda lebih bersifat ‘mengantikan’ jumlah air yang hilang dari tubuh.

•Lapan gelas air sehari. Lapan gelas air bermakna 1.9 liter. Walaupun tidak ada bukti saintifik menguji keberkesanannya, tetapi pengambilan air lapan gelas sehari sudah menjadi sebahagian daripada panduan pengambilan air yang sihat.

•Ada juga pendapat yang mengatakan lelaki harus mengambil air sekitar 13 cawan (tiga liter) daripada keseluruhan pengambilan air dan makanan manakala wanita pula sembilan cawan (2.2 liter) sehari.

Apapun pendekatan anda, apa yang penting pastikan anda mengambil jumlah air yang mencukupi. Jangan menunggu hingga timbul simptom dehidrasi untuk mengambil air yang cukup sebaliknya anda boleh memastikannya dengan memerhatikan warna urin anda. Jika ia terlalu kekuningan, maknanya jumlah air yang anda ambil tidak mencukupi dan harus berjumpa doktor bagi maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment