Thursday, January 16, 2014

Anak Paus Sirip Terdampar di Pantai Kampung Kuala Tatau, Bintulu

Bintulu: Lima sekeluarga di Kampung Kuala Tatau di sini, gempar apabila mendapati seekor anak ikan paus yang masih hidup sepanjang kira-kira empat meter terdampar di pantai hari ini.
Kehadiran mamalia laut dipercayai jenis paus sirip itu disedari jam 10 pagi oleh seorang penduduk yang tinggal berdekatan pantai berkenaan.

Foto
Masuhut Ayub, 55, berkata dia menyedari ikan paus berkenaan terdampar di pantai itu selepas terlihat pancutan air setinggi kira-kira dua meter dari arah pantai.

Ketika mendekatinya, saya dapati ikan paus itu tidak dapat berenang kerana paras air laut ketika itu cuma pada aras lutut dan ia terlalu cetek untuk haiwan itu berenang semula ke laut.

Foto
Bimbang ikan paus itu akan mati, Masuhut memastikan badan ikan itu tidak kering kerana dua jam berada di bawah sinaran cahaya matahari dengan menyimbah air ke badannya.

"Beberapa bahagian kulit ikan paus itu menggelembung akibat sinaran panas matahari dan terdapat beberapa kesan luka. Saya dan isteri serta anak silih berganti mencurahkan air ke badan ikan paus itu bagi mengelakkan badannya kekeringan," jelasnya.

Foto

Sementara itu, isteri Masuhut, Rozmiros Mersal, 50, berkata pelbagai usaha dilakukan untuk membawa ikan paus itu kembali ke laut namun gagal kerana pada waktu itu hanya mereka lima beranak sahaja yang berada disitu.

Katanya, mereka lima beranak menolak ikan paus itu masuk ke kawasan air yang lebih dalam bagi membolehkan ia berenang, tetapi malangnya usaha itu tidak berjaya kerana ia terlalu berat.

"Apa yang boleh kami lakukan ialah memastikan badannya tidak kering dan menunggu air pasang. Penantian kami selama empat jam berakhir apabila air pasang dan ikan paus itu berjaya berenang semula ke laut," katanya.

Katanya, anak paus sirip itu berkemungkinan besar terpisah daripada ibunya akibat daripada ribut kencang kelmarin.

No comments:

Post a Comment