Thursday, August 1, 2013

William, Kate namakan anak George Alexander Louis

London: Putera William dan isteri, Kate semalam menamakan anak mereka George Alexander Louis.
George, nama enam raja Britain sebelum ini menjadi pilihan ketika spekulasi beredar mengenai nama putera itu.
Nama itu diberikan kepada putera berkenaan mungkin juga sebagai penghormatan terhadap nama bapa Ratu Elizabeth iaitu Raja George VI yang memerintah dari 1936 hingga kematiannya pada 1952. 

Bayi baru dilahirkan itu yang juga pewaris ketiga takhta Britain kini secara rasminya dikenali sebagai Prince George of Cambridge sempena bapa dan ibunya, Duke dan Duchess of Cambridge.

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas ratu bertemu dengan cicitnya di Istana Kensington buat kali pertama selepas dilahirkan Isnin lalu.

Ia mendorong kepada spekulasi bahawa Elizabeth merestui nama itu. 

Kate dan William, masing-masing berusia 31 tahun dan putera cilik mereka berlepas ke kediaman ibu bapa Kate di Berkshire, pinggir London selepas singgah di Istana Kensington sebaik keluar dari hospital. 

“Duke dan Duchess of Cambridge gembira untuk mengumumkan bahawa mereka menamakan anak lelaki mereka George Alexander Louis. 

“Bayi itu akan dikenali sebagai Prince George of Cambridge,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Kensington. 

Media Britain menyokong keputusan William dan Kate, dengan Daily Telegraph semalam berkata, nama itu menandakan “kuasa mutlak raja”. 

Bayi itu secara automatik tidak akan menjadi Raja George VII apabila menaiki takhta, kerana terdapat laporan bahawa bapa William, Putera Charles akan menggunakan gelaran itu apabila dia menggantikan Ratu Elizabeth kelak. - AFP

No comments:

Post a Comment