Saturday, August 3, 2013

Allahyarham Ruslan Ishak : Teringin mati seperti pelakon

Bangi: “Lima hari lalu arwah ayah ada bercerita kepada seorang rakan mengenai seorang pelakon negara ini yang meninggal dunia ketika sujud semasa mengerjakan umrah dan dia bercita-cita untuk mati dalam keadaan serupa.
“Jadi, biarpun sedih dengan kematian ayah, kami turut bersyukur kerana cita-cita ayah tercapai,” kata anak Allahyarham Ruslan Ishak yang mahu dikenali sebagai Haikal, 23.

Menurutnya, Allahyarham Ruslan bercerita hal itu kepada rakannya berkenaan ketika mereka berjumpa sebelum Allahyarham pulang ke kampungnya di Kedah.
Haikal berkata, tiada perubahan pada sikap Allahyarham dan beliau juga sihat serta melakukan rutin hariannya seperti biasa.

“Cuma abah dilihat tidak banyak bercakap,” katanya.

Menurutnya, arwah seringkali berpesan kepada anak-anaknya supaya sentiasa menjaga solat, membaca al-Quran dan mendoakan kesejahteraannya.
Ditanya persiapan menyambut Aidilfitri, Haikal berkata, suasana pastinya kurang meriah selepas ketiadaan bapa pada kali ini.

“Cuma baru kami perasan, pada bulan Ramadan yang lepas masanya banyak berada di surau. “Namun, tahun ini hampir setiap hari abah meluangkan masa berbuka puasa bersama keluarga di rumah,” katanya. Sementara itu, balu Allahyarham, Mariami Zulkifli, 57, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan mengucapkan penghargaan kepada ahli kariah yang bersama-sama menguruskan jenazah suaminya.
“Walaupun tidak berada di sisi suami ketika akhir hayatnya, kami sekeluarga tetap berasa puas kerana arwah meninggal dunia ketika sedang beribadah. “Ramai kenalan malah orang yang tidak mengenalinya juga turut mendoakan kesejahteraan arwah,” katanya yang menyifatkan arwah seorang peramah, periang dan tegas terutamanya dalam soal ibadah.

Hasil perkongsian hidupnya, mereka dikurniakan tujuh anak berusia antara 17 hingga 35 tahun.

No comments:

Post a Comment