Monday, July 22, 2013

Rumah Terbakar : Kanak-kanak Selamatkan Dua Adik

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun berjaya menyelamatkan diri dan dua adiknya selepas rumahnya di Kampung Pasir Panjang, di sini, terbakar.
Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, Nur Ilyana Shahira Shaharudin, 12, sedang melayan karenah dua adiknya, Erin Syafika, 9, dan Mohd Aziq Ashraf, 3, yang bermain di depan rumah sementara ibu bapa mereka sedang berniaga di bazar Ramadan tidak jauh dari rumahnya. 
Katanya, api muncul dari bumbung rumahnya sebelum membakar ruang tamu ketika dia sedang mengawasi dua adiknya yang bermain tidak jauh darinya. 

"Saya terhidu bau hangit dan terkejut apabila melihat api marak di bahagian ruang tamu rumah.
Foto

"Ketika itu, terlintas di fikiran saya untuk memadamkan api tetapi membatalkan hasrat itu kerana api sedang marak membakar setiap ruang di rumah kami," katanya ketika ditemui di perkarangan rumahnya di sini, semalam.

Nur Ilyana berkata, bimbang dengan keselamatan dua adiknya itu, dia segera mendukung dan memegang mereka keluar dari kawasan rumah sebelum mendapatkan bantuan daripada jiran berhampiran. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Kamarul Bieza Mohd Kassim berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian dengan kekuatan 13 anggota dan tiga buah jentera. 

"Api berjaya dikawal kira-kira tiga minit selepas ketibaan pihak bomba. Ketika ini, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment