Wednesday, July 10, 2013

Ramadhan Ya Ramadhan : Panduan Pemakanan Semasa Rammadhan Untuk Pesakit Diabetes / Kencing Manis

Panduan berpuasa untuk pesakit kencing manis:

Antara masalah yang kerap dialami pesakit kencing manis ketika berpuasa ialah hipoglisemia (paras gula dalam darah terlalu rendah), hiperglisemia (paras gula terlalu tinggi) dan dehidrasi (kekurangan air) sehingga boleh menyebabkan pesakit pengsan dan koma.

Puasa adalah ibadat dan amalan baik untuk pesakit kencing manis, terutama yang turut ada masalah berat badan berlebihan. Namun beberapa garis panduan perlu dipatuhi sebelum pesakit dibenar berpuasa supaya ibadat itu tidak memudarat dan membahayakan nyawa.

Dua cabaran utama pesakit kencing manis pada bulan puasa ialah pertama, kawalan pengambilan ubat atau suntikan insulin kerana pada hari biasa ia dilakukan pada waktu siang.

Cabaran kedua ialah masalah hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi yang boleh berlaku bila-bila masa ketika berpuasa.

Untuk membolehkan seseorang pesakit berpuasa, penyakitnya perlu dalam keadaan terkawal dan tahap gula dalam paras sasaran iaitu 5.8 hingga 8 mmol/liter. Jika paras gula pada tahap ini, pesakit boleh berpuasa tanpa masalah. Bagi pesakit yang kurang patuh kepada penjagaan makan dan kawalan paras gula dalam darah, ini masa terbaik untuk memulakan program kawalan bagi mengelak terpaksa ‘ponteng’ puasa pada Ramadan.

Pesakit yang ingin berpuasa mestilah:

1. Bersahur (lebih baik jika melambatkan sahur)

2. Menyegerakan berbuka

3. Makan ubat atau menyuntik insulin mengikut nasihat doktor

4. Makan secara bersederhana ketika berbuka dan pada waktu malam

5.Kurangkan makan makanan manis

6. Mengawal penyakit dengan baik

7. Mengenali tanda hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi

8. Segera berbuka apabila mengalami tanda komplikasi sama ada hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Jika ini berlaku, anda tidak diwajibkan berpuasa.

9. Mengubah suai dos ubat atau insulin dan waktu untuk mengambilnya. Pesakit yang mengambil ubat makan berbuka puasa dengan makan ubat dan minum air terlebih dulu. Selepas 15 minit baru diikuti dengan makan nasi atau makanan berat lain. Insulin pula perlu disuntik 15 minit sebelum azan Maghrib. Namun, insulin generasi baru (yang bertindak segera) boleh disuntik sejurus sebelum berbuka.

Pesakit yang boleh berpuasa diingatkan untuk:

l Timbang berat badan pada awal Ramadan (pastikan tiada kenaikan atau penurunan berat badan yang mendadak)

l Mengelak makan berlebihan ketika berbuka dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambah berat badan dan menyukarkan kawalan diabetis

l Melakukan aktiviti fizikal ringan ketika berpuasa tidak mendatangkan kemudaratan. Sebaik-baiknya kekalkan gaya hidup aktif sepanjang Ramadan. Untuk mengelak masalah, lakukan perubahan pada gaya pemakanan dan dos ubat mengikut nasihat doktor

l Mendapatkan nasihat doktor mengenai pengubahsuaian dos dan waktu pengambilan ubat. Ubat yang diambil pada sebelah pagi (ketika tidak berpuasa) ditukar ke waktu berbuka. Manakala ubat yang diambil sebelum makan malam pula perlu diambil sebelum bersahur. Ketika berpuasa, pesakit perlu mengurangkan dos ubat bagi mengelak masalah hipoglisemia.

l Bagi pesakit yang mengambil insulin, dos dan waktu suntikan perlu diubah mengikut arahan doktor berdasarkan ujian paras gula dalam darah pada permulaan puasa. Perubahan ini boleh dilakukan seperti:

a. Tiga kali suntikan — Dua dos insulin yang bertindak segera ketika berbuka dan sebelum sahur, serta satu dos insulin yang bertindak lama sebelum tidur

b. Dua kali suntikan — Satu dos insulin yang dicampur ketika berbuka (dengan dos sama pada pagi tidak berpuasa) dan satu dos insulin yang bertindak segera sebelum bersahur

Ketika berpuasa, beberapa perkara perlu diberi perhatian iaitu tanda hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidarasi kerana ia boleh membahayakan nyawa pesakit.

Tanda hipoglisemia

l Menggigil

l Terlalu lemah

l Sangat lapar

l Berpeluh-peluh dan terasa seram sejuk

l Pucat

l Berdebar-debar

l Gelisah

l Koma (keadaan terlalu teruk)

Tanda hiperglisemia

l Kerap buang air kecil

l Terlalu dahaga

l Sangat letih

l Terasa sesak nafas

Tanda dehidrasi

l Sangat dahaga

l Kulit dan lidah menjadi terlalu kering

l Fikiran terganggu dan sukar menumpukan perhatian

Untuk mengawal tekanan darah, diet disarankan ialah mengambil makanan berserat tinggi seperti buah dan sayuran, makan makanan mengandungi protein kelas pertama seperti ikan, ayam, makanan laut, tenusu dan telur serta paling penting, kurangkan kuantiti garam dalam masakan. Kurangkan pengambilan daging kerana banyak kajian menunjukkan ia boleh meningkatkan tekanan darah.

Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Ganti kuih muih yang biasanya diambil selepas solat Tarawih dengan buah-buahan.

Makanan mengandungi lemak haiwan seperti mentega, ghee, kulit ayam, lemak daging dan lemak susu harus dielak manakala minyak sawit seharusnya digunakan untuk menggoreng tidak melebihi dua kali.

Puasa boleh menurunkan tekanan darah dan ia dianggap antara rawatan baik untuk pesakit tekanan darah tinggi. Untuk kesan lebih baik, lakukan senaman ringan sepanjang Ramadan dengan berjalan cepat selama 20 hingga 30 minit sehari. Selain itu, solat Terawih dianggap kaedah terbaik untuk menggerakkan seluruh anggota badan dan boleh membakar lemak.

Untuk pesakit buah pinggang kronik, mereka perlu berhati-hati dengan jumlah protein diambil. Pesakit perlu peka terhadap kandungan protein tersembunyi seperti di dalam papedom, keropok ikan atau produk mengandungi protein.

Malah, pesakit buah pinggang kronik perlu mengehadkan pengambilan garam kerana garam berlebihan boleh menyebabkan masalah pengumpulan air dalam badan.

Maknanya jika sudah memasukkan garam, tidak perlu lagi menambah sos soya atau kicap dalam masakan.

Kawalan makanan lebih sukar jika anda membeli juadah berbuka daripada restoran atau bazar Ramadan. Langkah terbaik ialah masak sendiri makanan anda di rumah kerana hanya dengan cara ini anda boleh mengawal diet.

Makanan mengandungi tinggi potassium seperti sawi dan bayam, pisang, oren, roti, kelapa, durian, belimbing besi dan rempah ratus tidak seharusnya diambil secara berlebihan kerana buah pinggang tidak mampu menyingkirkannya dari badan dan boleh mengakibatkan degupan jantung menjadi tidak normal.

Kandungan potassium dalam sayuran boleh dikurangkan dengan memotong sayuran kepada potongan kecil dan direndam sebelum dimasak.

Kurangkan pengambilan sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan kering, minuman bijirin, susu, produk tenusu, kekacang dan kentang serta elak makanan bertulang lembut atau tulang rawan serta mengurangkan minuman diperbuat daripada bijirin.

Sebaliknya gantikan ia dengan kubis, lobak merah, timun, peria, petola, kacang panjang atau terung di samping mengambil ubat bagi menghentikan proses kerosakan buah pinggang.

Beri perhatian

Tanda hipoglisemia

> Menggigil

> Terlalu lemah

> Sangat lapar

> Berpeluh-peluh dan terasa seram sejuk

> Pucat

> Berdebar-debar

> Gelisah

> Koma (keadaan terlalu teruk)

Tanda hiperglisemia

> Kerap buang air kecil

> Terlalu dahaga

> Sangat letih

> Terasa sesak nafas

Tanda dehidrasi

> Sangat dahaga

> Kulit dan lidah menjadi terlalu kering

> Fikiran terganggu dan sukar menumpukan perhatian

Sambung Baca: http://anizyn.blogspot.com/2009/08/panduan-berpuasa-pesakit-kencing-manis.html#ixzz2YaoeVxWv

No comments:

Post a Comment