Tuesday, July 9, 2013

Bayarlah semula pinjaman PTPTN : atau Adakah Melayu Memang Suka Berhutang Walaupun Sudah Mati!??

Sehingga akhir bulan Mei lalu, dilaporkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah meluluskan RM49.18 juta pinjaman pendidikan kepada 2.18 juta pelajar yang menyambung pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi.
Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said, perbadanan ini menyediakan bantuan bagi membolehkan pelajar membiayai yuran pengajian dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian masing-masing. 
Tatkala pelbagai polemik menyelubungi isu pembiayaan PTPTN ini seperti cadangan untuk memansuhkan hutangnya, ternyata PTPTN terus menjadi ‘lombong emas’ kepada pelajar yang memerlukan bantuan pinjaman pendidikan.

Pihak kerajaan terus menyalurkan bantuan melalui PTPTN kepada pelajar yang memerlukannya walaupun ada pihak cuba mengganggu gugat pinjaman ini.

Pemberian wang pendahuluan pembiayaan (WPP) PTPTN misalnya banyak membantu pelajar baru dalam membuat persiapan memasuki institusi pengajian tinggi tanpa membebankan ibu bapa.

Dalam hal ini, kita perlu sedar bahawa tidak semua ibu bapa dan keluarga mampu menyediakan wang perbelanjaan yang mencukupi untuk menghantar anak mereka ke menara gading. Malah ramai pelajar cemerlang terpaksa memendam perasaan dan melupakan cita-cita untuk melanjutkan pengajian kerana taraf hidup keluarga yang cukup meruncing dan tidak mampu.

PTPTN bertindak sebagai penyelamat apabila menyalurkan bantuan kepada yang layak dan juga berminat tanpa sebarang paksaan. Malah tempoh bayaran balik yang cukup fleksibel, bertimbang rasa dan pembiayaan berlandaskan prinsip syariah menerusi sistem ujrah atau upah pada kadar satu peratus setahun sewajarnya dihargai semua pelajar yang mendapat pinjaman.

Dalam hal ini, isu yang sering ditimbulkan ialah kegagalan dan keengganan peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka walaupun sudah memperoleh peluang pekerjaan yang baik.

Mereka sering lupa bahawa kedegilan mereka ini sebenarnya dengan jelas memperlihatkan rasa tidak berterima kasih terhadap peluang yang sudah kerajaan sediakan selama mereka berada di kampus. Malah mereka juga lupa keengganan mereka membayar balik pastinya akan menjejaskan peluang adik-adik mereka selanjutnya untuk memperoleh bantuan kerana dana PTPTN akan semakin berkurangan seandainya peminjam gagal membayar balik mengikut jangkaan jadual yang ditetapkan.

Hakikatnya hutang perlu dibayar balik. Itu adalah lumrah alam dan rukun kehidupan. Tiada alasan untuk mengelak daripada melunaskan hutang yang dinikmati sepanjang pengajian kita.

Agak menyedihkan apabila isu pembayaran balik pinjaman ini masih terus menghantui PTPTN akibat kedegilan graduan melunaskan hutang mereka. Walaupun pelbagai cara digunakan termasuk menghalang penghutang keluar dari negara, namun masih ramai yang terus degil.

Diharapkan kelompok ini agar cepat sedar dan insaf. Perlu diingat tidak lama lagi iaitu menjelang September, kemasukan pelajar baru ke institusi pengajian tinggi akan bermula. Sudah semestinya PTPTN memerlukan dana yang mencukupi untuk menyediakan WPP serta pembiayaan penuh untuk mereka.

Besarlah harapan kita agar penghutang ini tampil dan membuat bayaran walaupun pada kadar yang rendah kerana usaha ini bakal memberi sinar harapan kepada mahasiswa baru yang sedang memasang impian untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Biarkanlah PTPTN terus menjalankan tugas murni mereka membantu generasi pelapis untuk menjejakkan kaki ke menara gading tanpa sebarang masalah kewangan. Hargailah nikmat yang kita rasai selama ini dengan bantuan PTPTN.



No comments:

Post a Comment