Saturday, October 6, 2012

Taman Rekreasi Gunung Lang : Istirehat penuh dalam rimba



MENARA pandang yang menjadi titik fokus dalam landskap taman rekreasi ini.


SUASANA kawasan tasik yang dingin dan berlatarbelakangkan kehijauan gunung batu kapur memberikan satu kepuasan apabila bertandang ke Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh, Perak.
Kocakan dan alunan ombak tasik membuatkan seseorang hanyut dalam dunia tersendiri sekali gus dapat menghayati keindahan alam ciptaan Tuhan.
Bunyi kicauan burung dan keletah kawanan monyet yang bergurauan serta mencari makanan dari pokok ke pokok menambahkan keceriaan kunjungan ke lokasi tersebut.
Secara tidak langsung, para pengunjung akan merasakan mereka sungguh bebas dan damai daripada segala hiruk-pikuk suasana bandar.
Bukan itu sahaja, di kawasan seluas 28 hektar itu turut terdapat pelbagai jenis bunga bougainvillea (bunga kertas) berwarna-warni dan heliconia (sepit udang) yang tentunya menambahkan lagi seri tarikan di taman tersebut.
Himpunan puluhan spesies heliconia itu menjadikannya sebagai taman terbesar yang pernah menghimpunkan spesies tersebut di Malaysia.
Ada sebahagian daripada spesies bunga itu sebenarnya sukar didapati dan hanya tumbuh liar di tengah-tengah hutan di luar negara.
BAGI pengunjung yang ingin bersiar-siar di kawasan taman berkenaan, laluan pejalan kaki turut disediakan.


Spesies istimewa
Spesies berkenaan dijadikan tanaman hiasan kerana keunikannya yang pelbagai jenis, bentuk dan saiz. Ditambah pula dengan warnanya yang terang, ia mudah menarik minat perhatian para penggemar pokok hiasan itu.
Selain pokok tersebut, pelbagai jenis tumbuhan seperti orkid dan pokok buah-buahan tempatan telah dilabel mengikut nama masing-masing untuk tujuan akademik.
Mereka yang gemar mengambil gambar pula pasti puas merakam pelbagai foto yang bakal ‘menceritakan’ keseronokan kunjungan kali ini.
Buat mereka yang ingin datang ke Taman Rekreasi Gunung Lang, ia hanya terletak lima kilometer dari Ipoh dan kira-kira 200 kilometer (km) dari Kuala Lumpur.
Jika memandu dari Kuala Lumpur, pengunjung perlu membelok mengikut susur keluar ke Ipoh dari Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan seterusnya mengikuti arah papan tanda ke taman berkenaan.
Di taman itu, pengunjung turut berpeluang melawat ke rumah tradisional Perak, Dataran Warisan, wakaf terapung dan gerbang warisan.

PERKHIDMATAN bot siar turut disediakan untuk pengunjung mengelilingi tasik.


Daya tarikan utama taman ini ialah hamparan bukit batu kapur dan menyusuri tiga tasik bekas tapak lombong yang belum diterokai selain berehat di sebuah lagi taman yang terletak di penghujung tasik.
Di sinilah terletaknya kawasan perkhemahan yang boleh memuatkan 600 orang dalam satu-satu masa dan menara pandang yang membolehkan pengunjung melihat keindahan gunung batu kapur dari jarak yang lebih dekat.
Air tasik yang tenang itu dihuni pelbagai spesies ikan air tawar khususnya lampam, kelah dan tilapia. Boleh saja memberi makan kepada ikan-ikan itu, namun aktiviti memancing adalah dilarang kecuali mendapat kebenaran khas.
Bot siar
Apalah gunanya tasik kalau tidak diterokai luas permukaannya? Untuk tujuan itu, perkhidmatan bot siar yang mengelilingi pulau sejauh 300 meter disediakan.
Menikmati suasana rimba hijau sambil disapa kesegaran tiupan angin tatkala bot meluncur di atas tasik tentunya menjadi momen yang indah. Taman rekreasi ini sememangnya mengajak tetamunya berseronok dalam gaya istirehat sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment