William dan Kate ke Lembah Danum
SELEPAS melakukan lawatan di Kuala Lumpur termasuk menghadiri makan malam bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 83, dan melawat sekitar Kuala Lumpur, pasangan diraja Britain, Putera William dan isteri, Kate Middleton berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah.
Di negeri di bawah bayu itu, pasangan diraja itu menaiki helikopter untuk melawat Lembah Danum yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Lahad Datu.
Lebih kurang tiga jam, Putera William dan Kate Middleton meninjau keindahan kawasan hujan tropika itu.
Hutan seluas 438 kilometer persegi itu merupakan sebuah kawasan yang kaya dengan flora dan fauna. Melalui kajian dan penyelidikan mendedahkan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan tanah rata di Sabah termasuklah badak sumbu Sumatera, seladang, gajah Asia, harimau akar dan orang utan.
Pusat Kajian Lapangan Lembah Danum (DVFC) di situ diuruskan oleh Yayasan Sabah di bawah jawatankuasa yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa agensi yang berminat mengenai penyelidikan dan pemuliharaan hutan.
Di Lembah Danum, terdapat lebih 300 spesies burung yang pernah direkodkan di situ seperti kuang Bulwer, pitta, Borneo bristlehead dan lapan spesies burung enggang selain lebih 40 spesies ikan.
Banyak program penyelidikan kerjasama antara Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum dan Royal Society, London diadakan sejak tahun 1984.
Impak pembalakan
Kerjasama tersebut meletakkan sasaran untuk memahami secara saintifik proses ekologi dan mengekalkan hutan hujan tropika.
Ia juga bertujuan untuk memberi peluang latihan kepada rakyat Malaysia dalam ekologi, perhutanan dan bidang-bidang sains yang berkaitan.
Menaksir impak pembalakan dan menyediakan informasi yang boleh membantu meningkatkan pengurusan hutan.
Pusat penyelidikan tersebut dibuka kepada orang ramai termasuk dari dalam dan luar negara dengan hanya perlu memohon kepada sekretariat jawatankuasa.
Setakat ini, lebih kurang 300 penyelidikan telah disiap atau sedang dalam kajian. Kebanyakannya merupakan kerjasama antara rakyat Malaysia serta saintis dari luar.
Kajian yang dilakukan tertumpu pada dinamik hutan asli, kitaran nutrisi dan kesan pembalakan ke atas kualiti air serta populasi vertebrata.
Antara kemudahan yang disediakan di situ ialah plot penyelidikan di dalam hutan, menara platform peninjau kanopi dan akses hutan yang pernah dibalak bagi membuat perbandingan hutan-hutan primer dan sekunder.
Antara penyelidik yang pernah ke Lembah Danum ialah pensyarah Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr. Nik Muhamad Nik Abdul Majid, 64, bersama-sama Rangkaian Pemantauan Pengendapan Asid Di Asia Timur (EANET).
Kajian yang dilakukan adalah dengan melihat tahap keasidan dalam tanah di beberapa kawasan kajian di Asia.
"Hutan-hutan di Malaysia masih lagi baik kerana darjah bacaan pH antara 4.6 hingga 5.6. Jika bacaan berada pada tahap 2, ia sudah sangat teruk," kata Nik Muhamad yang ditemui di Serdang, Selangor baru-baru ini.
Hujan asid
Pokok kelat paya yang sangat sensitif pada perubahan hujan ditanam sebagai penunjuk apabila berlaku perubahan keasidan hujan.
Ancaman hujan asid yang berlaku akibat aktiviti perindustrian sudah pun memberikan kesan pada alam sekitar seperti di sempadan Kanada dan Amerika Syarikat.
Sejajar dengan kepentingan hutan selain membekalkan oksigen dan menjadi tanah perlindungan bagi hidupan liar, Lembah Danum merupakan tempat yang paling ideal untuk rekreasi seperti melihat burung, fotografi hidupan liar atau aktiviti merentas hutan.
Puncak tertinggi di Lembah Danum ialah Gunung Danum pada ketinggian 1,093 meter. Antara aktiviti yang dilakukan di situ termasuklah merentas hutan. Gunung itu memerlukan masa tiga hari dua malam untuk sampai manakala pendaki tegar cukup hanya empat jam.
Bukit Rafflesia juga mampu menarik perhatian para penggemar alam sekitar kerana di situ orang ramai berpeluang menemui bunga rafflesia.
Kawasan Konservasi Lembah Danum dikategorikan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan.
Putera William dan Kate Middleton mengakhiri lawatan empat harinya di Malaysia dengan berlepas ke Kepulauan Soloman dan Tuvalu.
Kedua-dua kerabat diraja Britain itu diraikan pada satu majlis perpisahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira pukul 7 pagi.
Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph pairin Kitingan dan Datuk Dr. Yee Moh Chai.
No comments:
Post a Comment