Sunday, September 9, 2012

Glamor tempe Sekinchan


Glamor tempe Sekinchan



PERJALANAN menuju pekan Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor yang mengambil masa hampir dua jam dari Kuala Lumpur tidak begitu dirasakan jauhnya lebih-lebih lagi selepas mendengar kelazatan tempe yang diusahakan oleh seorang pengusaha di daerah yang terkenal dengan sawah padi itu.
Sebaik sahaja sampai di Taman Ria, Sekinchan, kru Jurnal disambut oleh seorang wanita yang berusia 57 tahun yang masih sihat dan bertenaga.
"Jangan fikir bukan-bukan, ini bukan sebab makan tempe," katanya bergurau.
Tempe sememangnya dikenali sebagai antara makanan bagi masyarakat Jawa di negara ini malah majoriti penduduk negara jiran, Indonesia menggemarinya.
Jariah menceritakan, beliau telah mengusahakan perniagaan tempe selama hampir 30 tahun.
Asal-usul tempe
"Cerita asal mengenai tempe saya kurang pasti tetapi menurut kisah yang diperturunkan dari generasi ke generasi, ia bermula selepas berlakunya kebuluran di Indonesia pada tahun 1930.
"Ramai yang terpaksa mencari makanan alternatif. Pada mulanya mereka mencuba biji getah kemudian soya yang ditransformasikan menjadi tempe.
"Hakikatnya, apabila manusia tertekan dan hidup dalam keadaan sukar mereka menjadi kreatif untuk mencipta sesuatu yang boleh memberikan manfaat," ujarnya.
Kata Jariah, perniagaan tempe yang diusahakannya secara kecil-kecilan mendapat sambutan hangat semasa musim perayaan dan kenduri-kendara.

TEMPE merupakan makanan wajib bagi masyarakat Jawa di negara ini.


"Ada juga yang menempah tempe untuk dibuat barangan hantaran untuk majlis pertunangan dan pernikahan. Kebiasaannya ia diletakkan di dalam bekas khas.
"Tempe yang disediakan ialah jenis tempe goreng pedas," ujarnya.
Teruja
Wanita ini berkata, tempe sesuai dibuat goreng dan dicicah dengan sambal kicap. Selain itu, makanan ini juga sedap dimasak rendang dan lodeh.
Bagaimana pula dengan rasanya, penulis berpeluang untuk merasainya sendiri. Teksturnya agak lembut selain enak dimakan bersama sambal kicap.
Cukup mengenyangkan tanpa perlu dimakan bersama nasi.
Proses penghasilan tempe.
Beliau juga teruja untuk menceritakan bagaimana tempe dihasilkan.
Ujarnya, mula-mula kacang soya dipecahkan menggunakan sebuah mesin khas untuk dikisar. Kemudian ia direndam selama tiga hari di dalam sebuah besen yang dicampur bersama air.
Selepas itu, kacang soya itu dibasuh menggunakan mesin basuh yang diubahsuai sebelum direbus selama dua jam.
Tidak berhenti setakat itu, kacang yang siap direbus akan dicampur bersama ragi untuk mengelakkan pertumbuhan cendawan.
"Sebaik sahaja siap, ia dibungkus dengan daun pisang dan plastik. Daun pisang digunakan kerana ia lebih lembut selain baunya lebih sedap," katanya.
Jariah memberitahu, banyak dakwaan mengenai khasiat tempe tetapi tiada kajian lanjut dijalankan mengenainya.
"Ada yang mendakwa ia menjadikan seseorang lebih awet muda tapi saya percaya perkara itu disebabkan kacang soya sebagai antara bahan utama kosmetik.
TEMPE goreng lebih lazat jika dicicah dengan sambal hitam.


"Selain itu, makanan ini dikatakan mampu mengurangkan sembelit dan sakit perut. Sebenarnya ia bergantung kepada individu itu sendiri," ujarnya.
Tempe juga digunakan sebagai baja organik untuk pelbagai jenis pokok seperti pisang, mempelam dan nanas.
Semasa sedang rancak berbual dengan Jariah, suaminya Paad Damin, 65, pulang ke rumah menggunakan kenderaan Mitsubishi Storm.
Seakan-akan mengetahui perbualan kami berkisar mengenai tempe dia terus memotong perbualan penulis dengan isterinya.
"Dahulu berniaga tempe sukar kerana saya menjualnya menggunakan sebuah basikal tua. Perjalanan dari rumah menuju ke pekan Sekinchan sejauh 10 kilometer.
"Untuk memprosesnya juga agak rumit dengan biji kacang soya dibasuh di saluran air sawah padi, tapi dahulunya airnya bersih selain tiada penggunaan racun perosak," katanya.
Kemudian, ia dihancurkan menggunakan kaki sebelum diproses.
"Sekarang lebih mudah dengan penggunaan teknologi moden termasuk kenderaan seperti Mitsubishi Storm berwarna kuning itu untuk proses penghantaran," katanya tersenyum.
Paad menceritakan, kaum Cina dan India juga meminati tempe. Malah, seorang kanak-kanak Australia turut menggemari tempe yang belum digoreng yang dijamahnya di tapak perniagaan milik Paad di Pasar Sekinchan.
"Kata budak itu rasa tempe itu seperti kerepek kentang," cerita beliau.
Lelaki yang selesa memakai kopiah ini juga menceritakan pengalaman pahitnya semasa berusia awal 40-an.
Kerepek tempe
"Dahulu, saya berniaga pasar malam. Jadi sering keluar awal pagi dan balik pukul 3 pagi keesokkan hari. Perkara ini berulang selama tiga tahun.
KACANG soya dicampur bersama ragi untuk mengelakkan pertumbuhan cendawan.


"Tetapi peristiwa anak saya memanggil jiran sebelah rumah sebagai 'ayah' menyebabkan saya mengambil keputusan untuk tidak terlalu obses bekerja," katanya.
Anaknya, Hairul Ashid Paad, 35, kemudian memberi nafas baru dengan memperkenalkan kerepek tempe.
"Ia baru bermula pada tahun 2010. Sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Kerepek tempe boleh dimakan begitu sahaja tanpa perlu digoreng.
"Malah, rasanya seperti kerepek pisang dan ubi. Cuma saya tidak berani mengambil tempahan dalam skala besar kerana kurang kemampuan dari segi teknologi dan pekerja.
"Lagipun ini idea bersama saya, isteri Masliza Punari dan bapa mertua," kata Hairul.
Katanya, antara bahan utama yang digunakan ialah garam, jintan manis, rempah biji, ketumbar dan sedikit kapur.
"Kerepek ini akan digoreng dengan minyak panas sebelum dikeringkan selama beberapa jam. Harganya pula RM7.50 untuk 350 gram.
"Ramai yang membelinya untuk dijadikan hidangan semasa Hari Raya Aidilfitri selain kudapan semasa kenduri-kendara," katanya.

No comments:

Post a Comment