Thursday, September 13, 2012

Atlet paralimpik terima elaun sama seperti atlet lain


SEPANG: Dua atlet paralimpik negara yang meraih pingat pada Sukan Paralimpik London 2012 akan menerima elaun latihan bulanan seperti atlet normal, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong.

Katanya Hasihin Sanawi dari acara memanah dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) yang masing-masing meraih perak dan gangsa akan menerima elaun RM2,500 serta habuan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam). 
Di bawah Shakam, pemenang emas sukan paralimpik layak menerima RM300,000, perak (RM200,000) dan gangsa (RM100,000).

"Selain daripada elaun dan hadiah Shakam, mereka juga telah menerima beberapa kemudahan lain daripada pihak MSN termasuk kemudahan tempat tinggal, peralatan dan juga makan minum secara percuma," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berharap kejayaan yang dicapai oleh dua atlet itu akan menjadi inspirasi kepada atlet paralimpik lain.

"Saya juga harap kejayaan Hasihin dan Muhammad Ziyad juga dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk mempunyai lebih keyakinan untuk memberi pededahan kepada anak mereka yang terdiri dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya lagi.

Pada Sukan Paralimpik 2008 di Bejing, Malaysia hanya memperoleh sebutir gangsa menerusi atlet wanita Siow Lee Chan dalam dalam acara powerlifting 56kg. - Bernama

No comments:

Post a Comment