Saturday, August 18, 2012

Tak lagi hidup merempat


MARAN: “Aidilfitri kali ini lebih bermakna bagi kami lima beranak kerana dapat beraya di rumah baru selepas hidup merempat di Masjid Lama, Chenor, di sini, sejak lima bulan lalu.

“Dengan bantuan rumah asnaf daripada Majlis Agama Islam Pahang (Maip) ini, dapatlah kami sekeluarga beraya di rumah yang lebih selesa,” kata seorang ibu tunggal kepada empat orang anak, Roslila Yakub, 44.

Roslila berkata, selepas arwah suaminya, Ishak Awang Nik yang juga seorang bekas kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Chenor meninggal dunia hampir tiga tahun lalu, dia sekeluarga masih menetap di kuarters berkenaan selama dua tahun atas dasar ihsan pengurus JBA kawasan berkenaan.

Namun, dia terpaksa keluar dari rumah berkenaan pada Mac lalu selepas kakitangan baru berpindah ke kuarters itu dan bermulalah episod merempat dalam kehidupannya.

“Kami terpaksa tinggal di rumah Projek Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) yang uzur berhampiran Masjid Lama dan kehidupan terumbang-ambing selepas itu.

“Mujurlah saya mendapat pencen arwah suami sebanyak RM500 sebulan dan dengan wang itu, saya menyara empat orang anak termasuk anak kedua yang juga orang kurang upaya (OKU) mempunyai masalah lembam,” katanya yang mendapat bantuan rumah asnaf bernilai RM35,000 di Kampung Paya Ladang, Chenor, di sini.

Menurutnya, keadaan rumah PPRT yang tidak sempurna itu membuatkan dia lebih tabah mengharungi kehidupan kerana sering berada dalam kebimbangan setiap hari.

Katanya, selain tiada bekalan elektrik dan air, keselamatan anak-anak sering tergugat kerana diganggu beberapa orang sakit mental yang tinggal berhampiran.

“Selepas keadaan kami disedari Jabatan Agama Islam Chenor, mereka memanjangkan kes ini kepada Maip dan saya tidak menyangka dapat bantuan rumah dalam kadar segera.

“Rumah ini dibina pada Jun lalu dan siap awal bulan ini. Saya merancang untuk berpindah esok (hari ini) selepas urusan mengemas barang selesai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 18/08/2012 : Metro

No comments:

Post a Comment