Wednesday, August 15, 2012

Saya bagai 'orang api' : Walauapapun alasannya mereka dan keluarga mereka perlu bertanggungjawab dan mesti 'bayar'


Kalau ikut hukum 'Hudud' mereka yang melakukannya juga perlu dihukum bakar sama seperti mereka membakar (kalau nak hukum)..........

IPOH: “Api marak begitu cepat hingga menyebabkan kulit kaki saya terasa seperti mencair. Saya bertukar menjadi ‘orang api’ sejurus seluar dan baju terbakar. Mujur ada yang membantu memadamkan kebakaran itu,” kata mangsa, Mohd Hishamudin Ali, 13, yang terbakar separuh tubuhnya akibat disimbah petrol oleh sekumpulan remaja.

Mangsa yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah, Shah Alam, mendakwa dibaling bungkusan berisi petrol oleh sekumpulan remaja nakal ketika pulang dari menunaikan solat Tarawih di kampungnya di Lumut, kira-kira jam 9 malam, Ahad lalu.

Dia yang ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam, berkata, kebakaran itu menyebabkan bahagian bawah tubuhnya dari kaki hingga perutnya terbakar hingga melepuh teruk.
“Ketika kejadian, saya pulang dengan berjalan kaki dari masjid selepas selesai melakukan solat Tarawih. 

Saya melihat beberapa remaja sedang bermain api tanpa mengesyaki ia adalah minyak yang mudah terbakar. “Bagaimanapun, saya terkejut apabila salah seorang remaja itu melemparkan bungkusan petrol itu ke arah saya sebelum api tiba-tiba menyambar seluar dan baju,” katanya.

Menurutnya, dia yang panik cuba memadamkan kebakaran itu sambil dibantu beberapa individu yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Nasib baik api itu dapat dipadamkan segera, namun bahagian kaki kiri saya melecur teruk dan saya hanya mampu merintih sakit. Rasa pedih dan panas akibat kebakaran itu menyebabkan saya terpaksa dikejarkan ke HRPB untuk menerima rawatan,” katanya.
Menurutnya, dia terpaksa menjalani pembedahan bagi mengambil daging pahanya untuk ditampal pada bahagian betis kaki kiri yang rosak teruk.

“Sebelum ini, saya dapat tahu mereka (remaja) sering bermain petrol secara suka-suka mungkin untuk meraikan bulan Syawal,” katanya.

Dia berkata, layanan baik pihak hospital menyebabkan dia lega dan yakin akan sembuh serta dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sementara itu, datuk mangsa, Azmi Din, 60-an berkata, dia menganggap tragedi itu berlaku tanpa disengajakan, malah remaja yang melakukan perkara itu sudah memohon maaf.

“Perkara sudah berlaku. Kalau boleh kami tidak mahu memperbesarkan isu ini.

“Remaja yang melakukan perkara itu juga sudah memohon maaf dan mengaku bertanggungjawab. Malah, kami menganggap ia sebagai takdir.

“Bagaimanapun, kami mahu remaja yang melakukan musibah ini memandang serius kes ini supaya tidak berulang pada masa akan datang,” katanya yang turut membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, sejurus kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan meminta semua pihak memandang serius kemalangan yang berlaku.

“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak bermain dengan bahan api kerana ia boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan sentiasa memantau anak-anak mereka khususnya menjelang Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

No comments:

Post a Comment