Saturday, August 18, 2012

Laungan azan beri ketenangan


Bagi orang (yang mengaku Islam) tetapi jauh dari Islam, mungkin azan akan menyakitkan telinga mereka! (maklumlah Islam ikut-ikutan atau Islam keturunan sahaja)... Wallahu'alam bissawab.

KUALA LUMPUR: Penghijrahan Nurhazlina Abdullah, 24, dari agama asal kepada Islam mendidiknya memahami erti ketabahan dan ketenangan selepas berdepan dengan pelbagai konflik keluarga.

Dia yang berasal dari Medan, Indonesia berasa lebih tenang sekarang walaupun baru memeluk Islam sebelum Ramadan lalu dan fokusnya kini mahu mempelajari lebih mendalam ilmu keagamaan.

“Sudah lama saya mahu memeluk Islam iaitu ketika di usia 11 tahun berikut kebanyakan kawan saya adalah Islam. “Namun, permintaan saya itu ditentang ibu dan ayah kerana mereka menyatakan agama Islam tidak memberi apa-apa yang istimewa berbanding agama yang mereka anuti,” katanya ketika ditemui di pejabat Perkim.

Katanya, walaupun ketika itu dia masih kanak-kanak, namun hatinya cukup tertarik dengan Islam dan ‘senyap-senyap’ mengikut rakannya mempelajari kelas fardu ain di sebuah masjid berdekatan sekolah tanpa pengetahuan orang tuanya.

“Ketika itu hati saya keras dan tidak mahu mengikuti keluarga sembahyang di gereja. Saya hanya mahu mempelajari Islam saja... setiap kali azan hati ini amat tenang sekali,” katanya.

Menurut Nurhazlina, hasratnya memeluk Islam makin menebal apabila dia ke negara ini selepas keluarganya menghadapi masalah disebabkan sikap bapanya yang tidak mempedulikan emak dan adik-beradiknya.


“Saya sangat kecewa dengan keadaan yang melanda keluarga kami, sedangkan saya melihat kawan-kawan yang beragama Islam hidup bahagia kerana Islam amat mementingkan persaudaraan sesama ahli keluarga.

“Dari situ saya mula menilai dan berfikir sebelum hati saya secara tiba-tiba terbuka untuk mendalami Islam tanpa paksaan daripada sesiapa,” kata anak pertama dari lapan adik beradik.

Apabila ditanya mengenai penerimaan keluarga ketika ini, Nurhazlina berkata, keluarganya menentang keras terutama bapanya sehingga memutuskan hubungan mereka, tetapi ibunya tidak menghadapi masalah.

No comments:

Post a Comment