Friday, August 31, 2012

Ikon Kemerdekaan : Stadium Merdeka kian dilupakan


Stadium Merdeka kian dilupakan

Stadium Merdeka yang menjadi saksi kemerdekaan Malaysia dan lokasi acara sukan bertaraf dunia kini semakin dilupakan.




BIARPUN jarak kediaman Datin Paduka Wan Intan Wan Ahmad Tajuddin di Pelabuhan Klang, Selangor dengan Stadium Merdeka 37.3 kilometer, perasaannya pasti bercampur-baur setiap kali teringatkan kenangan di bangunan ikonik itu.
Matanya berkaca manakala perbualan Wan Intan yang sentiasa ramah dan bertenaga walaupun usianya sudah menjangkau 81 tahun serta-merta terhenti dan dalam nada tersekat-sekat dia meneruskan kata-kata.
Pengalaman nenek kepada empat orang cicit itu bukan calang-calang. Beliau merupakan insan bertuah kerana berada di Stadium Merdeka ketika Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.
"Sehingga sekarang, imej Tunku saat beliau melaungkan perkataan merdeka masih jelas pada pandangan mata saya," ujar Wan Intan yang ketika tarikh keramat itu terjadi, dia baru berusia 26 tahun.
Suasana ketika itu sangat hebat. Dengan kapasiti penonton seramai 20,000 orang, Stadium Merdeka dipenuhi lautan manusia tanpa mengira kaum sambil memberi gambaran pada waktu itu.
Tambah Wan Intan, sebelum pengisytiharan, Tunku Abdul Rahman memberikan ucapan. Pada waktu itu suasana di stadium menjadi begitu sunyi kerana semua tekun mendengar amanat Tunku.
Wan Intan yang kini menetap di Kampung Raja Uda, Klang masih aktif melakukan kerja-kerja kebajikan terutamanya melibatkan anak-anak yatim.


LAUNGAN Tunku Abdul Rahman (dua dari kiri) di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 menjadi lambang kemerdekaan Malaysia sehingga kini.



Beliau dan adiknya, Wan Intan telah menempuh perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sehari sebelum 31 Ogos.
Detik penurunan bendera Union Jack pada pukul 12 tengah malam pada 31 Ogos 1957 juga sempat disaksikan oleh kedua-dua beradik itu.
Berlangsung di Padang Sultan Sulaiman yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka, orang ramai memenuhi kawasan padang sehingga tidak nampak rumput, kata Wan Intan.
Di stadium pula, mereka bertuah kerana dapat duduk di hadapan pentas yang menempatkan acara pengisytiharan kemerdekaan Malaysia.
Pengalaman berada pada acara tersebut benar-benar memberi pengajaran dan kesedaran kepadanya sepanjang hayat mengenai jerih-perih pejuang dahulu menuntut kemerdekaan.
Stadium Merdeka yang terletak di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur itu dibina pada 25 September 1956 dan siap sepenuhnya pada 21 Ogos 1957.
Pada awalnya, stadium tersebut dibina bertujuan sebagai lokasi pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu sekali gus menjadi lambang kepada status kemerdekaan Malaysia sehingga kini.
Kata Pakar Sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Tunku Abdul Rahman memberi idea untuk membina sebuah stadium untuk acara tersebut selain menjadi tempat orang ramai berkumpul.
Tambahan pula, Tunku merupakan seorang yang aktif bersukan terutamanya ketika menuntut di Universiti Cambridge, United Kingdom.
Sesuai dengan fungsinya sebagai kemudahan sukan, Stadium Merdeka menjadi lokasi penting dalam penganjuran banyak acara sukan berkelas antarabangsa.
WAN INTAN masih jelas mengingati saat beliau berada di dalam Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.


Bertaraf antarabangsa
Sepanjang dekad 60-an hingga 80-an, Stadium Merdeka begitu gah dan meriah dengan aktiviti sukan terutamanya bola sepak melalui penganjuran Pesta Bola Merdeka.
Perlawanan bola sepak yang diadakan sempena sambutan Kemerdekaan dianjurkan setiap tahun selepas tarikh 31 Ogos. Ia bertaraf antarabangsa dan mendapat perhatian orang ramai.
Selain itu, Stadium Merdeka juga menjadi tempat utama dalam penganjuran sukan Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEA) dan Sukan Malaysia (Sukma). Bagi acara bukan balapan pula, Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar dan Stadium Negara serta Stadium Chin Woo menjadi tumpuan.
Pesara juruteknik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Khalib Mat, 63, yang bertugas di bahagian luar studio kerap berada di Stadium Merdeka ketika zaman kegemilangan lokasi sukan itu.
Ujarnya, hampir 90 peratus program yang dianjurkan di Stadium Merdeka berbentuk sukan. Premis tersebut dijaga sebaik mungkin terutamanya di bahagian padang rumput.
Setiap kali acara sukan dianjurkan, orang ramai berpusu-pusu seawal pukul 4 petang untuk memasuki stadium. Suasana sesak begitu jelas kelihatan mungkin kerana pintu masuk tidak banyak manakala penonton begitu ramai.
"Ketika itu tidak banyak syarikat yang membawa artis-artis antarabangsa ke Malaysia untuk mengadakan persembahan.
"Tempat acara yang besar pula tidak ada kecuali Stadium Merdeka. Jadi, acara-acara sukan menjadi hiburan bagi rakyat Malaysia pada waktu itu," ungkap Khalib ketika ditemui di rumahnya di Bangi, Selangor.
Pada masa itu, para pengulas sukan seperti Hasbullah Awang dan Rahim Razali begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia manakala pemain bola sepak misalnya, Allahyarham Mokhtar Dahari menjadi bintang pujaan.
Tambahan pula, bola sepak Malaysia ketika itu amat digeruni pasukan lawan seperti dari Korea, kata lelaki dari Nibong Tebal, Pulau Pinang itu.


KHALIB (tiga dari kiri) ketika bertugas di bilik berita RTM di Stadium Merdeka.



Acara besar
Tugas Khalib semasa berkhidmat dengan RTM adalah membuat susun atur keseluruhan litar elektrik dalam bilik penyiaran setiap kali ada acara luar studio dibuat.
Bukan untuk RTM sahaja, jika terdapat syarikat penyiaran luar yang mahu membeli hak siaran, lelaki yang mula bekerja di Kuala Lumpur pada tahun 1977 itu turut bertanggungjawab.
Selain sukan, terdapat beberapa acara berbentuk keagamaan dianjurkan di situ seperti sambutan Maulud Nabi, dan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa serta kebangsaan.
"Hanya majlis tilawah yang menyebabkan padang rumput rosak kerana pentasnya dibina di tengah-tengah padang," ceritanya.
Ketika itu majlis tilawah diadakan di tempat terbuka menjadikan suasananya sangat berlainan, penonton pula begitu ramai memenuhi ruang hadapan pentas.
"Sukar untuk menggambarkan perasaan tersebut lebih-lebih lagi ia diadakan pada bulan Ramadan," kenang Khalib lagi.
Namun, selepas banyak lokasi sukan mula wujud, aura Stadium Merdeka mula malap. Ia semakin jelas apabila Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dapat menampung kapasiti kira-kira 100,000 orang pada tahun 1998 dibuka.
Bukan sahaja stadium itu sendiri, tetapi kawasan sekelilingnya turut sama hilang secara beransur-ansur seperti restoran berdekatan.
"Dahulu, terdapat sebuah restoran menjual lauk kari kepala ikan yang sangat terkenal tetapi sudah ditutup ketika saya ke sana baru-baru ini," ceritanya lagi.
Barangkali, terdapat ekspo-ekspo diadakan di Stadium Merdeka tetapi tidak dapat memberi impak meriah sama seperti sekitar tahun 70-an dan 80-an.
Stadium bersejarah itu pernah dirancang untuk dirobohkan bagi memberi laluan pada pembinaan projek komersial bersepadu bernilai RM1 bilion.
Namun, kata Kay Kim, ia dibatalkan selepas mendapat banyak tentangan daripada orang awam.

STADIUM Merdeka begitu gah dengan aktiviti sukan terutamanya bola sepak melalui penganjuran Pesta Bola Merdeka sekitar tahun 70-an.



Bangunan bersejarah
Berbanding memori Wan Intan dan Khalib terhadap Stadium Merdeka yang bersifat semangat kebangsaan, generasi sekarang agak berbeza jika diteliti tujuan mereka ke bangunan bersejarah itu.
Bermula abad ke-21, banyak konsert telah dianjurkan seperti kumpulan Linkin Park, Mariah Carey, Avril Lavigne, Justin Biebir, Big Bang dan banyak lagi di stadium yang mendapat pengiktirafan sebagai bangunan warisan kebangsaan pada tahun 2003.
Peminat muzik berkumpulan, Nur Aina Najha Ahmad Mukhtar, 28, pernah dua kali ke Stadium Merdeka untuk menonton konsert kumpulan Muse dari United Kingdom.
"Saya memang meminati Muse dan pasti ke lokasi kumpulan itu mengadakan konsert. Selain di Kuala Lumpur, saya pernah menonton konsert Muse di Singapura," katanya yang berasal dari Kedah.
Selain konsert Muse yang diadakan pada tahun 2007, Nur Aina juga pernah ke Stadium Merdeka untuk bekerja di belakang tabir untuk acara muzik terbesar Malaysia, Rock The World.
Nur Aina mempunyai pendapatnya sendiri mengenai Stadium Merdeka yang kerap diadakan konsert di situ. Muzik kedengaran sangat jelas apabila diadakan di Stadium Merdeka, mungkin kerana ruangnya yang kecil berbanding Stadium Nasional.
Disebabkan pentas dibina di atas padang, hanya separuh bahagian stadium akan dipenuhi penonton dan penonton yang kelihatan ramai serta bersesak menjadikan suasana bertambah menarik bagi peminat muzik live band.
"Stadium Merdeka merupakan tempat yang selesa untuk berkumpul tanpa tujuan seperti mendengar muzik," ujarnya yang ke Stadium Merdeka bersama-sama rakan-rakan yang mempunyai minat sama.

No comments:

Post a Comment