Sunday, August 26, 2012

Hanya di Malaysia dan Australia sahaja : Fenomena lapisan air tawar dan masin


Fenomena lapisan air tawar dan masin


PENYU agar dan penyu lipas bertelur sepanjang tahun di kawasan pantai Teluk Bahang.


JIKA ada yang beranggapan Pulau Pinang hanya dipenuhi pembangunan hutan batu, mereka ternyata silap.
Dari udara masih jelas tersergam rimba nan menghijau umpama permaidani menghampar hampir 70 peratus daripada tanah di bahagian pulau meliputi kawasan landai daerah Timur Laut hingga bukit-bukau ke Barat Daya.
Ini kerana kawasan terbina hanyalah di bahagian bucu pulau atau lebih tepatnya bandar George Town serta pekan pesisir pantai dari Jelutong hingga ke Bayan Lepas dan bakinya di Batu Feringghi.
Salah satu lokasi percutian kembara yang boleh membuatkan anda jatuh hati di pulau ini sudah pastinya ialah Taman Negara Teluk Bahang (TNTB).
Terletak di daerah Barat Daya, pekan Teluk Bahang juga dikenali sebagai pekan paling hujung di pulau walaupun letaknya tidak jauh, cuma 22 kilometer dari bandar George Town.
Biarpun kawasan bersebelahannya iaitu Batu Feringghi lebih dikenali, namun Teluk Bahang punya tarikan tersendiri.
Perkampungan nelayan di sini misalnya antara yang tertua di Pulau Pinang dan masih kekal dengan ciri-ciri asalnya sejak 100 tahun lalu.
TNTB atau juga disebut Taman Negara Pulau Pinang, ditadbir oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri mempunyai keunikan tersendiri.
Walaupun merupakan taman negara terkecil, tetapi banyak spesies flora dan fauna termasuk yang jarang ditemui serta hampir pupus ada di sini.
Bukan sahaja suasananya mendamaikan, malah rimbunan pokok-pokok di sini menjadikan TNTB sejuk dan cantik selain kebersihannya dijaga.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Pantai Keranchut di TNTB juga merupakan salah satu lokasi persinggahan penyu spesies agar dan penyu lipas yang aktif bertelur sepanjang tahun.

PELBAGAI aktiviti boleh dilakukan di TNTB seperti merentas desa, memancing atau meninjau kehidupan liar.


Biasanya penyu-penyu jenis itu akan naik ke pantai pada waktu malam untuk mengelak daripada terserempak dengan manusia dan haiwan pemangsa.
Di sini juga terletaknya Pusat Penetasan dan Pemuliharaan Penyu di bawah kendalian Jabatan Perikanan bagi membolehkan pelancong termasuk pelajar serta penyelidik mengenali habitat haiwan tersebut secara lebih dekat.
Selain itu, di taman berkenaan juga terdapat sebuah tasik yang mengandungi dua lapisan air iaitu air tawar di bahagian atas dan air laut masin di bahagian bawahnya.
Diberi nama Tasik Meromiktik, fenomena dua lapisan itu hanya berlaku sekitar bulan April dan Mei setiap tahun iaitu ketika peralihan musim monsun timur laut dan monsun barat daya.
Ketika fenomena berkenaan berlaku, air tasik akan dipenuhi pelbagai hidupan marin seperti ikan, udang dan ketam.
Tasik itu akan kering semula apabila perubahan musim monsun barat daya kepada monsun timur laut sekitar Oktober.
Kesempatan itu digunakan pelancong untuk mandi manda kerana dipercayai air tasik mengandungi khasiat tersendiri, malah tasik sedemikian hanya ada di Pulau Pinang dan Australia.
Kemudahan lengkap
Sementara itu, Timbalan Penguasa Perhilitan Negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, banyak aktiviti boleh dilakukan di taman tersebut sama ada secara individu atau berkumpulan.

MUZIUM mini TNTB juga boleh menambahkan lagi pengetahuan pelancong mengenai flora dan fauna di situ.


Antaranya mendaki bukit, merentas hutan, berenang, memancing dan meninjau hidupan liar.
"Kemudahan disediakan juga lengkap termasuk tandas, dewan, surau, bilik mandi, tapak perkhemahan, dapur memasak dan pondok wakaf.
"Kita membuka peluang kepada pengunjung melakukan pelbagai aktiviti termasuk memancing, berkhemah dan menikmati pengalaman hidup di kawasan hutan," katanya.
Beliau ditemui pada Program Kembara Media bersama Kementerian Sumber dan Asli di TNTB baru-baru ini.
Tambah Wan Mat, pengunjung boleh memasuki taman itu sama ada secara berjalan kaki menerusi pintu masuk di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang atau pintu masuk di Jalan Kuala Sungai Pinang di Balik Pulau.
Masuk adalah percuma, tetapi pengunjung perlu mendaftar di Kaunter Penerangan TNTB bagi mendapatkan permit.
Di pejabat TNTB juga terdapat sebuah muzium mini yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.
Jika ingin menghabiskan masa lebih lama di sini, dicadangkan agar pengunjung menginap di Homestay Teluk Bahang yang diusahakan penduduk kampung dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia.

No comments:

Post a Comment