Wednesday, August 22, 2012

12,000 penduduk berdepan maut


12,000 penduduk berdepan maut


DUA penunggang motosikal melintas jalan dengan cara berbahaya semata-mata untuk mengelak membuat pusingan U di jalan menghala ke Permas Jaya dan Pasir Gudang di Johor Bahru.


JOHOR BAHRU – Sejak setahun lalu, kira-kira 12,000 penduduk yang tinggal di sekitar Bayu Puteri dan Flat Sri Stulang mendakwa terdedah kepada ancaman maut ekoran perubahan jalan menghala ke Permas Jaya dan Pasir Gudang di sini.
Senario itu didakwa menjadi semakin buruk sejak ketiadaan lampu isyarat di kawasan tersebut berikutan pembukaan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Timur (EDL) pada Mac lalu.
Penduduk mendakwa, perancangan yang dibuat oleh pihak berkenaan kurang bijak kerana ia kini lebih menyusahkan dan membahayakan nyawa penduduk terutama pelajar sekolah.
Subhi Saat, 51, berkata, penduduk bimbang dengan keselamatan pelajar yang terpaksa menyeberang jalan berkenaan setiap hari sedangkan kenderaan banyak dan dipandu laju.
“Setakat ini, sudah ada tiga kematian berlaku akibat kerana kemalangan di kawasan ini ,” katanya yang juga Ketua Biro Keselamatan Pergerakan Pengguna Negeri Johor ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, kesan daripada ketiadaan lampu isyarat itu juga, pemandu yang datang dari arah pusat bandar untuk pulang ke rumah terpaksa membuat pusingan U sejauh 6 kilometer.
Seorang lagi penduduk, Rosnah Madun, 48, pula mencadangkan agar pihak yang berkaitan mewujudkan semula lampu isyarat atau membina bulatan di jalan berkenaan.
“Jika ia tidak dibuat, saya percaya akan berlaku lebih banyak lagi kemalangan, lebih-lebih lagi sekarang, penunggang motosikal gemar mengambil jalan pintas dengan naik di atas pembahagi jalan untuk melintas bagi mengelak melakukan pusingan U yang terlalu jauh,” katanya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

No comments:

Post a Comment