Wednesday, February 29, 2012

Teknologi : Tayar lama stabil suhu

 



ANGIN sepoi-sepoi bahasa menampar muka, bak sedang berjalan di tepian pantai. Tetapi bila difikirkan kembali sebenarnya langkah kaki baru sahaja dijejakkan ke dalam bangunan Space u8. Apabila mendongak ke siling bangunan yang mempunyai reka bentuk futuristik dan moden itu, kelihatan kipas-kipas gergasi sedang berputar. Ia memberikan hembusan angin menyegarkan kepada pengunjung.
Di hujung laman dalam bangunan yang terletak di Taman Bukit Jelutong, Seksyen U8, Shah Alam, Selangor itu terdapat pula air pancut dikelilingi bangku-bangku dan tumbuh-tumbuhan memberikan suasana mendamaikan.
Space u8 yang membuka pintu kepada orang ramai pada November tahun lalu, dijangka mampu menjadi mercu tanda baharu penduduk bandar raya Shah Alam. Ia menawarkan konsep bangunan mesra alam bagi memberi kelainan kepada penduduk setempat dan kawasan sekitarnya.
Pada dasarnya, Ketua Pegawai Eksekutif Space u8, Raja Ahmad Nizam Raja Razali memberitahu, bangunan tersebut dibangunkan menggunakan konsep Shop Unit Mall Offices (SUMO).
“Ia bermaksud unit-unit kedai pejabat yang terdapat di bangunan ini ditawarkan dengan kemudahan pusat beli-belah seperti eskalator, lif, laman dalam tertutup dan surau.
Selain daripada konsep SUMO, Space u8 yang menempatkan 200 unit kedai pejabat turut menekankan tentang penggunaan teknologi hijau dalam bangunan ini untuk memulihara alam sekitar,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Kekal suhu
Raja Ahmad Nizam menjelaskan, tapak asas bangunan empat tingkat tersebut menggunakan teknologi tayar-tayar lama.
“Dalam pembinaan tapak bangunan ini sebanyak 220,000 tayar lama telah digunakan. Proses berkenaan agak rumit kerana ia memerlukan saiz yang sama untuk memastikan keseimbangan bangunan.


SEBANYAK 220,000 tayar lama digunakan sebagai tapak asas bangunan Space u8 yang terletak di Taman Bukit Jelutong, Shah Alam.


“Penggunaan tayar-tayar lama tersebut adalah untuk mengurangkan haba hasil pantulan pada konkrit sekali gus memastikan bangunan berada dalam suhu selesa iaitu 25 darjah Celsius,” ujarnya.
Selain daripada itu, beliau memberitahu, pengaliran udara turut dapat bergerak dengan baik dalam bangunan Space u8 tersebut.
Kalau diperhatikan dengan teliti, beliau menjelaskan, bumbung bangunan tidak tertutup sepenuhnya malah, mempunyai ruang udara panas untuk bergerak keluar.
“Kita juga telah memasang lapan kipas gergasi pada siling bangunan untuk memastikan udara panas dapat mengalir keluar melalui ruang-ruang di bumbung.
“Ia dapat memberikan hembusan angin kepada pengunjung yang datang ke sini seolah-olah mereka berada di luar bangunan,” katanya.
Beliau menambah, keselesaan pengunjung amat diutamakan dalam pembikinan bangunan berkenaan.
Justeru itu katanya, sebanyak
84 kipas penghembus jet telah dipasang di sekitar bangunan berkenaan untuk memastikan suhu sentiasa berada pada tahap 25 darjah Celsius.
“Bagaimanapun, sekiranya suhu mencecah lebih 27 darjah Celsius penghawa dingin akan dihidupkan secara automatik untuk memastikan keselesaan pengunjung,” ujarnya lagi.
Penjimatan
Raja Ahmad Nizam memberitahu, bangunan hijau tersebut turut melakukan proses pengumpulan air hujan.
“Terdapat sebanyak sembilan tangki pengumpulan air hujan disediakan di bawah tempat letak kereta. Setiap tangki berkenaan mampu mengumpul sebanyak 720 liter air. Ia akan diproses sebelum digunakan untuk penyiraman landskap dan bilik air awam di dalam bangunan ini,” ujarnya lagi.


BANGUNAN Space u8 dijangka mampu menjadi mercu tanda baharu di Shah Alam.


Beliau menambah, bumbung bangunan berkenaan turut dilengkapi panel tenaga solar yang menyumbang kepada pembangunan mesra alam.
Bahkan katanya, ia mampu membekalkan tenaga tambahan dalam mengurangkan penggunaan elektrik sekali gus menjimatkan perbelanjaan.
Penggunaan tingkap terpanjang berukuran 70 meter lebar dan 178 meter panjang di bumbung bangunan berkenaan turut membolehkan sinaran cahaya memasuki tanpa membuatkan pengunjung berasa haba.
Lebih membanggakan ia telah dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai jendela langit terpanjang struktur bumbung.
Reaksi
Sementara itu, seorang pembantu kedai, Wan Nurfarhana Balqis Wan Yusoff, 24, memberitahu, terdapat kelainan ketara yang dapat dilihat apabila melangkah masuk ke dalam Space u8.
“Kalau kita mendongak ke arah bumbung bangunan akan kelihatan beberapa kipas gergasi tergantung menghembuskan angin dingin kepada pengunjung.
“Saya merasakan ia sesuatu yang baharu kerana belum pernah melihat kipas besar seumpama ini di mana-mana pusat beli-belah,” katanya.
Seorang pengunjung, Nur Nadira Hanis Azhar, 18, pula berkata, dia amat tertarik dengan air pancut yang disediakan di laman di dalam pusat beli-belah berkenaan.
“Ia melahirkan perasaan mendamaikan kepada pengunjung yang ingin berehat atau bersantai seketika di kerusi-kerusi disediakan di situ sambil makan dan minuman.
“Selain daripada itu, keluasan laman dalam yang disediakan juga amat luas sekali gus memberikan keselesaan kepada pengunjung,” ujar pekerja swasta itu.
Nurazlina Mat Safalisan, 20, yang baru memulakan tugas sebagai pembantu kedai barang perhiasan seminggu lalu juga berasa amat kagum dengan konsep hijau diaplikasikan dalam pembikinan pusat beli-belah tersebut.


AIR pancut dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di laman dalam bangunan mencetuskan perasaan mendamaikan.


“Saya merasakan pusat beli-belah terbaharu ini amat unik dan menarik perhatian apabila menekankan konsep serta teknologi hijau dalam pembikinannya.
“Ia secara tidak langsung dapat memupuk kesedaran kepada pengunjung dalam menghargai dan memulihara khazanah alam,” katanya.
Perancangan
Raja Ahmad Nizam memberitahu, pihaknya sedang dalam perancangan untuk melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal lebih mesra alam di bangunan berkenaan.
“Sistem pengurusan sisa pepejal berkenaan akan diproses sekali gus dapat digunakan sebagai baja di sekitar landskap bangunan berkenaan.
“Kita juga akan membuka teknologi berkenaan kepada penduduk setempat dan kawasan sekitar yang membawa sisa pepejal untuk diproses semula,” katanya.
Beliau menambah, penduduk yang membawa sisa pepejal akan meraih mata untuk membeli barangan kitar semula di pasar raya hijau dikendalikan Earth Gain.
Katanya, ia dilakukan sebagai projek komuniti dalam memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam penduduk setempat dan sekitarnya.

No comments:

Post a Comment