Friday, October 28, 2011

Rangka manusia 16,000 tahun dihantar ke tapak asal

KAWASAN gua tempat penemuan rangka manusia berusia 16,000 tahun
di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.



KUALA TERENGGANU – Rangka manusia berusia 16,000 tahun yang dipercayai rangka tertua pernah ditemui di negara ini akan dikembalikan ke tapak asalnya di Gua Bewah, Tasik Kenyir tidak lama lagi.

Pengarah Muzium Terengganu, Yusof Abdullah berkata, pihaknya sedang membuat persiapan terakhir berhubung urusan penghantaran rangka dikenali sebagai Bewah Man itu. Ia dijangka dilakukan pada akhir tahun ini.

Katanya, sekumpulan pakar tempatan dan ahli arkeologi kini sibuk membina satu bekas khas yang sesuai untuk menempatkan rangka manusia itu yang telah ditemui di Gua Bewah pada November tahun lalu.

“Penyelidikan ke atas rangka ini telah memasuki fasa terakhir dan selepas itu kita akan menghantarnya ke tempat ia ditemui.

“Kita juga akan pastikan rangka ini tidak diganggu dan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ditanya apakah jantina rangka itu, Yusof menjelaskan, sepasukan ahli arkeologi baru-baru ini telah menemui cebisan gigi ketika melakukan cari gali di Gua Bewah dan penemuan itu diharap akan dapat membantu untuk menentukan jantina rangka berkenaan.

“Ini adalah penemuan baru bagi Bewah Man namun kita akan melakukan lebih banyak ujian sebelum dapat menentukan jantina sebenar rangka yang dianggap tertua di negara kita,” jelasnya.

Yusof menjelaskan, setiap rangka yang ditemui di kawasan itu telah dihantar kepada pakar-pakar di Amerika Syarikat untuk penyelidikan lanjut.


Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

No comments:

Post a Comment