Friday, October 21, 2011

Fenomena Law Kana Bainana



SEBIJI buah epal yang masak ranum dilihat berada di atas lantai sebuah pasar raya di Bandar Jeddah, Arab Saudi. Beberapa orang yang lalu lalang berhampiran tempat jualan buah-buahan dan sayur segar itu langsung tidak mengendahkannya.

Kemudian, apabila seorang wanita muda berjubah hitam lengkap berpurdah melalui kawasan tersebut, dia pantas mengangkat buah epal yang berada di lantai lalu diletakkan semula di tempat asalnya.

Tindakan wanita itu ternyata mengundang sekuntum senyuman buat seorang lelaki yang bersembunyi sambil memerhatikan situasi tersebut melalui kamera tersembunyi di satu sudut pasar raya itu.

Tanpa menunggu lebih lama, lelaki yang mempunyai lesung pipit di pipi itu bergerak untuk menemui wanita tersebut. Ucapan tahniah tidak lekang diucapkan kerana kelakuan baik yang ditunjukkan wanita berkenaan.

“Terima kasih saudari kerana mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW yang sudah pasti tidak akan suka seandainya nikmat atau rezeki dibiarkan terjatuh di lantai begitu sahaja.

“Soalan saya, seandainya Rasulullah SAW ada di hadapan saudari selama seminit, apakah yang mahu saudari ucapkan kepada Baginda?” demikian pertanyaan yang dilontar pengacara berkenaan sekali gus menusuk hingga ke lubuk hati paling dalam bagi sesiapa yang mendengarnya.

Tiada jawapan yang keluar dari bibir wanita itu melainkan mutiara jernih yang mengalir dari kelopak matanya. Sejurus menghela nafas, dia pantas mengungkapkan: “Ia satu soalan yang sukar. Duduk bersama Baginda adalah impian semua orang. Andainya ia berlaku, saya ingin meminta kepadanya agar membawa saya jauh dari dunia ini.”

Itu antara pengisian rancangan televisyen bertajuk Law Kana Bainana (Andai Rasulullah SAW Bersama Kita) yang dicetuskan oleh Ahmad Al Shugairi, 38, merangkap pengacara untuk program yang menjadi fenomena di Semenanjung Tanah Arab dan di serata dunia.

Program berbentuk dakwah itu bertujuan mengajak umat manusia untuk mengenali keperibadian mulia Nabi Muhammad SAW yang dilahirkan sebagai pembawa rahmat bagi sekalian alam.

Terbahagi kepada beberapa segmen, ternyata program itu mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan terutama bagi golongan muda yang semakin melupakan keagungan insan bernama Muhammad bin Abdullah itu.

Bagaimanapun, inisiatif yang diambil Ahmad bagi menerbitkan rancangan sedemikian membuktikan bahawa sebenarnya segala amalan dan sunnah Nabi SAW masih menjadi ikutan serta pegangan sebahagian umat Islam di dunia ini.

Antara segmen yang terdapat dalam rancangan itu seperti rakaman kamera tersembunyi untuk mengetahui tindakan seseorang individu dalam pelbagai situasi, temu bual dengan pelbagai tokoh dalam bidang tertentu termasuk yang bukan Islam mengenai pandangan mereka terhadap Nabi SAW dan penceritaan sirah-sirah Nabawiyah secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam kepada penonton.


POPULARITI Ahmad menyebabkan dia sentiasa menjadi tumpuan lensa wartawan.


Pintu hati terbuka

Ironinya, Ahmad sendiri mengakui bahawa dia bukanlah seorang sheikh atau pendakwah yang memiliki ilmu agama yang luas dalam mengajak manusia mengenali Rasulullah SAW. Namun, rasa cinta yang menggunung tinggi terhadap Baginda SAW merupakan faktor utama dia berbuat demikian.

“Saya bukan seorang sheikh. Tetapi, apabila mula belajar untuk mengenali ketokohan Rasul Junjungan, saya terus jatuh cinta kepada Baginda dan berusaha mempelajari sirah-sirah yang menceritakan tentang keistimewaan Nabi Muhammad SAW,” ujar Ahmad ketika ditemu bual oleh akhbar The New York Times pada tahun 2009.

Menyingkap latar belakang Ahmad yang berasal dari Arab Saudi, dia pernah melalui zaman gelap sebagai seorang anak muda yang lalai daripada melakukan tuntutan agama.

Dilahirkan pada tahun 1973 dalam sebuah keluarga kosmopolitan yang kaya, Ahmad kemudian melanjutkan pengajian di sebuah kolej di Long Beach, California pada usia 17 tahun.

Bertitik tolak dari situlah, dia mula mengabaikan suruhan agama seperti tidak bersolat dan tidak berpuasa. Sama seperti anak muda lain, Ahmad lebih gemar menghabiskan masa dengan acara hiburan dan keseronokan. Merokok, berseronok dengan wanita dan meminum arak antara perilaku negatif yang pernah dilakukan pemuda itu.



AHMAD turun ke padang sendiri untuk rakaman dengan orang ramai.


Cuma, apabila mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia 22 tahun, Ahmad berusaha menjalani kehidupan menurut ajaran Islam yang sebenar. Dia turut menyesali kehidupan bebas yang dilalui ketika remaja.

Rentetan itu, Ahmad bertindak kembali ke Arab Saudi di samping mahu menguruskan perniagaan milik bapanya.

Namun, isterinya tidak mahu mengikut corak hidup Ahmad yang mula berubah ke arah lebih Islamik dan ia membuatkan pasangan itu mengakhiri perkahwinan mereka dengan perceraian.

Di sana, Ahmad mula belajar dengan seorang ulama bernama, Adnan al-Zahrani yang mendedahkan kepadanya tentang idea bahawa kekuatan Islam datang daripada kepelbagaian dan keterbukaan dengan cara-cara pemikiran yang baharu.

Buat kali pertama, Ahmad menemui satu cara untuk mengimbangi gelodak jiwanya yang berperang dengan kehidupan sendiri di Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Di Jeddah, Ahmad kemudian membuka sebuah kafe yang dinamakan Al-Andalusia untuk golongan muda mempelajari lebih lanjut tentang Islam menerusi koleksi buku-buku Islamik yang disediakan di kafe tersebut.

Sebelum menerbitkan rancangan Law Kana Bainana, Ahmad telah berjaya menarik perhatian dan menjadi inspirasi kepada ribuan pemuda pemudi di tanah Arab melalui program televisyen bertajuk Khawater (Pemikiran) sejak tahun 2004 hingga 2010.

Rancangan tersebut memberi tumpuan tentang bagaimana kehidupan Muslim pada masa dahulu dan zaman sekarang. Ia kemudian diiktiraf sebagai program paling berjaya di dunia Arab yang disiarkan sepanjang bulan Ramadan pada setiap tahun.



LOGO rancangan Law Kana Bainana yang menjadi fenomena di Tanah Arab.


“Orang Islam dahulu kala merupakan cendiakawan dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan, astronomi dan matematik. Justeru, kita harus bangkit kembali untuk memastikan kegemilangan Islam akan terus berkekalan pada masa akan datang,” tutur Ahmad kepada Rahima al-Balushi, wartawan akhbar Times of Oman.

Bagi wartawan The New York Times, Robert F. Worth yang pernah menemu bual Ahmad, dia menganggap lelaki itu seorang bintang generasi baharu yang dikenali sebagai sheikh satelit.

“Menerusi beberapa rancangan televisyen yang diterbitkannya, Ahmad banyak membantu masyarakat dunia dalam meningkatkan pemahaman sebenar terhadap Islam yang sering dipandang serong.

“Pendekatan dakwah yang digunakan Ahmad sangat berhemah dan mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang didekatinya,” kata Robert.

No comments:

Post a Comment