p/s : Tanah mereka dirampas kerana mereka miskin, sepatutnya kerajaan negeri membantu mereka!
p/s 2: Ini akan menjadikan Kedah negeri pertama di Malaysia yang mempunyai ramai orang tidak berumah iaitu pada kadar 25 ribu orang.
ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas termasuk menyita atau merampas rumah di rancangan perumahan awam (RPA) di negeri ini berikutan kegagalan pemilik melunaskan tunggakan yang melebihi RM20 juta sejak 25 tahun lalu.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi berkata, tunggakan itu melibatkan 5,000 buah rumah atau 30 peratus daripada keseluruhan lebih 20,000 unit rumah perumahan awam yang ditawarkan menerusi skim sewa beli kepada penduduk miskin dan berpendapatan rendah.
Katanya, tunggakan itu melibatkan jumlah yang tinggi, malah ada di kalangan pemilik rumah tidak pernah membuat sebarang pembayaran sejak menduduki kediaman tersebut.
Jelasnya, kegagalan melunaskan tunggakan ini menyekat peluang kepada lebih 15,000 pemohon yang memerlukan rumah di negeri ini.
"Rumah itu ditawarkan pada harga subsidi iaitu RM25,000 seunit dengan bayaran bulanan antara RM50 hingga RM100 tetapi ada di kalangan pemilik langsung tidak pernah membuat bayaran sejak menduduki rumah itu.
"Tunggakan itu melibatkan pembeli di hampir semua daerah di Kedah. Kegagalan mereka melunaskan tunggakan menyukarkan pihaknya menyelenggara kawasan perumahan itu," katanya kepada pemberita di Wisma Darulaman di sini semalam.
Tambahnya, Bahagian Perumahan kerajaan negeri juga akan membuat tindakan sama ke atas pembeli rumah yang melanggar syarat perjanjian kerana menyewakan rumah tersebut kepada pihak lain.
"Berdasarkan rekod, sejumlah 20 peratus pembeli melanggar syarat tersebut dan perincian jumlah sebenar akan dibuat dari semasa ke semasa oleh Bahagian Perumahan," katanya.
Menurut Phahrolrazi, pihaknya masih membuka ruang perundingan kepada pembeli untuk melunaskan tunggakan menerusi penjadualan semula hutang mereka.
Berikutan itu katanya, pihaknya akan menghantar notis tunggakan sewa itu kepada pembeli terbabit mulai minggu depan dan tempoh 14 hari diberikan untuk mereka berunding dengan Bahagian Perumahan berhubung tunggakan itu.
"Pembeli boleh datang ke Bahagian Perumahan untuk berunding bagi menyelesaikan masalah hutang mereka," katanya.
Program perumahan itu dilaksana sekitar awal tahun 1970-an melibatkan rancangan perumahan awam menerusi skim sewa beli dan program perumahan rakyat bagi tujuan sewaan sahaja atau transit kepada golongan miskin serta berpendapatan rendah.
Kadar sewa bagi rancangan perumahan awam ialah RM50 hingga RM100 sebulan untuk tempoh antara 20 hingga 25 tahun manakala program perumahan rakyat dengan kadar sewa bulanan antara RM90 hingga RM124.
No comments:
Post a Comment