Thursday, September 22, 2011

Taufan Roke mengarah ke loji nuklear


PEMANDANGAN dari udara menunjukkan bandar Toyokawa  tengah Tokyo ditenggelami banjir  selepas Taufan Roke membadai Jepun, semalam.
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan bandar Toyokawa tengah
Tokyo ditenggelami banjir selepas Taufan Roke membadai Jepun, semalam.
 
Taufan ragut enam nyawa, lebih 575,000 penduduk Tokyo bergelap

TOKYO: Taufan Roke dengan kelajuan angin 220 kilometer sejam kini dilaporkan menghala ke loji nuklear Fukushima yang rosak teruk akibat gempa bumi Mac lalu, selepas membadai Tokyo semalam.
Di ibu negara Jepun itu, Roke yang membawa hujan lebat, menyebabkan sekurang-kurangnya enam terbunuh, ratusan penerbangan dibatalkan, manakala beribu-ribu penumpang kereta api terkandas.
Jurucakap syarikat pengendali elektrik Tokyo Electric Power Co (TEPCO), Junichi Matsumoto, berkata pihaknya sudah mengambil langkah berjaga-jaga tahap tertinggi di loji Fukushima, tetapi meramalkan taufan itu tidak akan memusnahkan loji terbabit.

“Apa yang paling membimbangkan ialah kemungkinan paras air dicemari radioaktif mungkin meningkat di dalam turbin. Loji itu masih mempunyai kadar air yang banyak untuk digunakan sebagai penyejuk reaktor, selepas terjejas akibat gempa dan tsunami Mac lalu.

“Kami juga khuatir, hujan lebat akan menyebabkan air dicemari radioaktif melimpah ke laut. Bagaimanapun, setakat ini kami yakin dapat menahan limpahan air, jika parasnya meningkat tiba-tiba,” katanya.

Jabatan Meteorologi Jepun melaporkan, Roke, taufan kedua terkuat melanda Jepun bulan ini, juga mengakibatkan hujan lebat sehingga 40 sentimeter di timur dan barat negara itu sejak 24 jam lalu.
“Kami perlu mengambil tindakan berjaga-jaga tahap tertinggi berikutan hujan lebat, angin kencang dan ombak besar yang kini melanda bahagian timur dan utara Jepun,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Osamu Fujimura dalam pada sidang media di sini, semalam.

Taufan Roke menyebabkan lebih 575,000 penduduk di wilayah yang mendapat perkhidmatan TEPCO, termasuk loji industri kereta, Nissan dan Mitsubishi bergelap apabila bekalan elektrik terputus.

Toyota menyatakan, pihaknya bercadang untuk menutup 11 buah kilang di bahagian tengah negara itu lewat petang ini dan membatalkan syif kerja pada sebelah petang.

Roke mengakibatkan hujan lebat di wilayah Hamamatsu, 200 kilometer ke barat Tokyo, kira-kira jam 2 petang waktu tempatan sebelum menghala ke utara bandar raya itu pada sebelah petang

No comments:

Post a Comment