Thursday, September 15, 2011

Steve Forbes : Banyak perkara Obama boleh contohi Najib

Steve Forbes
Steve Forbes AS wajar ikuti pembaharuan
ekonomi Malaysia: Forbes

KUALA LUMPUR: Banyak perkara boleh diteladani kerajaan Amerika Syarikat (AS) dari Malaysia terutama dalam pembaharuan ekonomi, khususnya penerokaan peluang baru perniagaan, kata Pengerusi dan Ketua Pengarang Forbes Media, Steve Forbes.

Katanya, sebagai negara bergantung kepada eksport, Malaysia dapat menghasilkan barisan produk serta perkhidmatan selaras dengan keperluan pasaran, justeru memudahkannya berlindung daripada kesan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

“Saya bukan cuba untuk bertindak diplomatik di sini, namun begitu Perdana Menteri anda (Datuk Seri Najib Razak) diharap dapat memberi nasihat kepada kerajaan kami mengenai tindakan pembaharuan ekonomi, terutama mengenai cara membuka peluang perniagaan dan bukan menutup peluang itu.

“Presiden Barack Obama boleh mempelajari banyak perkara daripada Perdana Menteri anda,” katanya dalam satu temubual dengan Berita Harian di luar Persidangan Ketua Eksekutif Forbes ke-11 di Kuala Lumpur, semalam.

Forbes, yang berada di ibu negara selama lima hari, berkata bagi memastikan negara mencapai matlamat ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun lagi, kerajaan perlu menambah baik dari segi menghapuskan halangan birokrat, khususnya menyeragamkan proses menjalankan perniagaan pada peringkat domestik.

Katanya, Malaysia juga perlu menimbang keperluan untuk menarik lebih ramai kumpulan ekspatriat berkemahiran tinggi dalam usaha menambah nilai kepada ekonomi negara.

“Tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti itu akan membantu Malaysia untuk meneruskan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau menegaskan, daripada pemerhatiannya, Malaysia tidak berdepan halangan besar untuk menjadi maju dalam masa 10 tahun lagi, melainkan jika ekonomi di seluruh dunia runtuh sepenuhnya.

“Keruntuhan itu tidak akan berlaku kerana pada 2013 ekonomi AS dijangka bangkit semula. Keadaannya akan menjadi lebih baik di AS dan kemudian diikuti zon Eropah.

“Hari-hari yang baik akan muncul di sini (Malaysia), tetapi dengan syarat negara ini perlu menjadi sebuah ekonomi yang berbelanja secara berhemah, maka anda akan lebih berdaya saing dan mampu berdepan dengan keadaan yang lebih sukar pada masa depan,” katanya.

Forbes yang kali terakhir berada di Kuala Lumpur dua tahun lalu menambah, sepanjang tempoh itu juga Malaysia telah melaksanakan tindakan jauh ke depan untuk merealisasikan wawasannya menjadi negara maju pada 2020.

Dalam perkembangan sama, For-bes berkata beliau mahu lebih banyak syarikat Malaysia diletakkan di dalam senarai Forbes Asia Fab 50, iaitu kumpulan syarikat Asia Pasifik yang mencatat prestasi perniagaan cemerlang.

Firma telekomunikasi tempatan, Axiata Group Bhd muncul satu-satunya syarikat tempatan yang disenaraikan dalam Forbes Asia Fab 50 tahun ini, dalam keluaran khas terkini majalah berkenaan.

No comments:

Post a Comment