Saturday, September 3, 2011

Somalia : Tidak mampu beli kain kafan

MOGADISHU: Selepas menderita lebih tujuh bulan akibat tiada makanan, seorang wanita penghuni kem penempatan rakyat Somalia yang kebuluran, Safiyya Hummu Izaq, 40, meninggal dunia dalam khemahnya di sini petang, semalam.

Lebih menyayat hati, wanita malang yang mempunyai tiga anak kecil itu menghembus nafas terakhir hanya selepas dua anaknya yang berusia satu dan tiga tahun meninggal dunia Selasa lalu juga disebabkan kebuluran dan kurang nutrisi.

Menurut adik perempuannya, Farlamu Izaq, 30, mereka terlalu miskin hingga tidak mampu menguruskan jenazah dengan sempurna termasuk untuk membeli kain kafan.

Katanya, mereka berasal dari Wilayah Baidawo yang terletak 300 kilometer tenggara Mogadishu selepas kampung halaman mereka kering kontang akibat kemarau panjang.

Farlamu berkata, arwah kakaknya terlantar sakit sejak beberapa bulan lalu disebabkan tiada makanan dan dijangkiti penyakit menyebabkan dia sering cirit-birit sehingga menghembuskan nafas terakhir, semalam.

“Seorang demi seorang ahli keluarga kami meninggal dunia akibat kebuluran dan tidak tahu apa nasib kami pula selepas ini kerana keadaan masih tidak berubah. “Kampung kami terjejas teruk akibat kemarau panjang hingga tidak boleh bercucuk tanam atau menternak kambing dan lebih sukar, bantuan daripada mana-mana pihak tidak sampai ke tempat kami.

“Semua penduduk kemudian berpindah ke ibu negara bagi mendapatkan bantuan dan kami sudah lebih tiga bulan menghuni kem penempatan kem penempatan dalaman (IDPs), Maalin ini,” katanya yang ditemui ketika menjaga jenazah kakaknya.

Difahamkan, di Kem Maalin yang mempunyai 1,400 penghuni, setiap hari dua hingga lima penghuninya mati akibat pelbagai penyakit.

Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia, yang tiba 10 minit selepas wanita malang itu meninggal dunia, turut bersimpati serta menziarahi jenazah mangsa di khemahnya. Selain itu, Presiden Kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim juga mendermakan wang tunai kepada keluarga mangsa untuk menguruskan jenazah Safiyya.

No comments:

Post a Comment